Login to your account

Username *
Password *
Remember Me
  • Alamat

    Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)

    Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah

    Persiaran Masjid, Seksyen 5

    40000 Shah Alam

    Selangor Darul Ehsan

    Tel : (603) 55191291 / 55191294 / 55191304 / 55113708

    Faks : (603) 55105620

    Pautan Agensi

    Sitemap

    Paparan terbaik menggunakan :

    IE9 Ke atas/ Firefox 11 Ke atas / Google Chrome resolusi 1280 x 720 ke atas.

    ::Hak Cipta Terpelihara © 2014. Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor:: 

    • Tarikh kemaskini: Rabu 09 September 2020, 13:12:44.

    Total Visitor 7759

    Kubik-Rubik Joomla! Extensions

SOALAN LAZIM

Soalan Lazim - Umum

Soalan 1
Apakah bidang kuasa kes Mal Mahkamah Rendah Syariah Selangor?

Jawapan :
Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah Selangor merangkumi jumlah tuntutan tidak melebihi RM300,000.00.

Soalan 2
Apakah bidang kuasa kes Mal Mahkamah Tinggi Syariah Selangor?

Jawapan :
Bidang kuasa kes Mal Mahkamah Tinggi Syariah Selangor meliputi nilaian tuntutan melebihi RM300,000.00.

Soalan 3
Saya telah mendaftarkan tuntutan / permohonan, bilakah kes saya akan disebut di Mahkamah?

Jawapan :
Setelah kes tersebut didaftar, anda akan diberikan tarikh sebutan, bicara atau Majlis Sulh pada hari yang sama. Kebiasaannya Mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh 21 hari selepas pendaftaran. Namun, tertakluk kepada jumlah kes yang ditetapkan di hadapan Hakim.

Soalan 4
Kes saya telah selesai, bila saya boleh mendapatkan perintah bertulis daripada Mahkamah?

Jawapan :
Perintah Bertulis boleh diperolehi dalam tempoh 30 hari selepas kes diputuskan dan dipohon oleh pelanggan. Manakala bagi permohonan kes Faraid, perintah bertulis / Sijil Perakuan Faraid akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari selepas kes diputuskan.

Soalan 5
Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan khidmat guaman sekiranya saya tidak berkemampuan?

Jawapan :
Anda boleh berhubung dengan Jabatan Bantuan Guaman Negeri Selangor di Aras 6, Plaza Perangsang Persiaran Perbandaran, 40000 Shah Alam. Selangor atau di talian 03-55106192 / 03-55106298.

Soalan 6
Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan borang pendaftaran kes?

Jawapan :

Anda boleh mendapatkan borang pendaftaran kes dengan memuat turun borang di Laman Web ataupun mendapatkan di kaunter Mahkamah Syariah Selangor yang berdekatan.

Klik disini untuk muat turun borang.

Soalan Lazim - Harta Sepencarian
Soalan 1
Saya telah bercerai dan saya ingin menuntut harta-harta yang telah diperolehi sepanjang perkahwinan, Mahkamah mana yang boleh mendengar tuntutan ini?

Jawapan :
Tuntutan yang ingin dibuat adalah Tuntutan Harta Sepencarian dan Mahkamah yang boleh mendengar tuntutan ini ialah Mahkamah Tinggi Syariah, berdasarkan peruntukan sek. 63(3)(b)(iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 203.

Soalan 2
Apakah situasi yang membolehkan Harta Sepencarian dituntut?

Jawapan :

i.   Apabila kematian suami
ii.  Apabila berlaku perceraian
iii. Apabila berlakunya poligami
iv. Apabila pasangan tidak mempunyai anak    

Soalan 3
Apakah yang dimaksudkan dengan Harta Sepencarian?

Jawapan :
Harta Sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Soalan 4
Bagaimanakah Mahkamah menentukan pembahagian Harta Sepencarian?

Jawapan :
Pembahagian Harta Sepencarian di bahagikan mengikut kepada takat sumbangan pihak-pihak (suami dan isteri) secara langsung mahupun tidak langsung di dalam tempoh perkahwinan bagi mendapatkan harta-harta yang telah dituntut.

Soalan 5
Adakah isteri yang tidak bekerja berhak menuntut Harta Sepencarian? Bagaimana Mahkamah melihat sumbangan seorang isteri yang tidak bekerja di dalam Tuntutan Harta Sepencarian?

Jawapan :
Isteri yang tidak bekerja berhak menuntut Harta Sepencarian di Mahkamah. Mahkamah akan melihat kepada sumbangan isteri tersebut secara tidak langsung sepanjang perkahwinan seperti menjaga kebajikan anak-anak dan suami serta usahanya menjaga harta tersebut.

Klik disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Wasiat dan Hibah
Soalan 1
Ibu saudara saya telah meninggal dunia dan arwah tidak meninggalkan wasiat bertulis bagi harta sepeninggalannya. Ketika arwah hidup dia pernah berkata bahawa semua hartanya diserahkan kepada saya dan kakak kerana arwah telah menjaga kami sejak kecil. Jadi, adakah wasiat lisan yang disebutnya itu perlu dilaksanakan? Adakah pembahagian hartanya perlu mengikut hukum faraid iaitu membahagikan kepada ibunya dan adik-beradiknya kerana dia tidak mempunyai suami dan anak?

Jawapan :
Setiap dakwaan yang dikemukakan ke Mahkamah perlu dibuktikan. Jika benar ibu saudara anda telah memberi hartanya kepada anda ia perlu dibuktikan samada melalui akuan sumpah dan saksi serta disokong oleh bukti-bukti yang lain sehingga boleh membuktikan bahawa ianya adalah wasiat. Sekiranya tiada bukti mahupun saksi yang boleh menyokong kead antara ahli warisnya maka adalah sukar untuk membuktikan bahawa wasiat secara lisan telah berlaku dan ini bermakna warisnya mempunyai hak sepenuhnya terhadap harta si mati.

Soalan 2
Apakah perbezaan antara Hibah dan Wasiat?

Jawapan :
Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris manakala Hibah ialah anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad yang mengandungi pemberiaan hak milik oleh pemberi harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengharapkan balasan atau tukaran.

Klik 
disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Hak Jagaan Anak (Hadhanah)
Soalan 1
Siapakah yang berhak terhadap tuntutan hak jagaan anak ?

Jawapan :
Secara asalnya, Hukum Syarak menetapkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak terhadap penjagaan anak (Hadhanah) sekiranya ibu hilang kelayakan dibawah Hukum Syarak maka hak tersebut diberikan kepada nenek sebelah ibu keatas kemudian barulah bapa. Mahkamah juga boleh mempertimbangkan sekiranya wujud pilihan anak dengan membuat pertimbangan kepada kebajikan dan kepentingan anak tersebut.

Soalan 2
Adakah kelayakan ibu sebagai seorang penjaga yang paling berhak boleh hilang?

Jawapan :
Hak seorang ibu terhadap penjagaan (hadhanah) adalah hilang :
i.   Jika dia berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian               dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-         kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan               kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali             semula jika perkahwinan itu dibubarkan.
ii.  Jika dia berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.
iii. Jika dia menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa           kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-           kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil         anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.
iv. Jika dia murtad.
v.  Jika dia mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Soalan 3
Apakah kelayakan-kelayakan untuk menjadi seorang penjaga bagi kanak-kanak (Hadhinah)?

Jawapan :
Seseorang yang berkelayakan untuk menjadi seorang penjaga mestilah dia :
i.    Sempurna akal.
ii.   Berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan              dan kasih saying yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu.
iii.  Berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah.
iv.  Tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-        apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Soalan 4
Berapa lamakah tempoh penjagaan kanak-kanak yang ditetapkan oleh undang-undang?

Jawapan:
Hak penjaga bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki. Manakala umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan. Tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan pihak penjaga tersebut, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan. Setelah tamatnya hak penjaga tersebut, penjagaan adalah turun kepada bapa dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada dengan ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Soalan 5
Bagaimanakah hendak memfailkan tuntutan hak jagaan anak (hadhanah) di Mahkamah Syariah?

Jawapan:
Anda boleh memfailkan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah di mana tempat anda
bermastautin.

Soalan 6
Siapakah yang berhak menjadi penjaga (Hadhinah) bagi seorang anak luar nikah (anak tak sah taraf)?

Jawapan :
Penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.

Klik disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Penceraian
Soalan 1
Apakah yang dimaksudkan dengan Cerai Ta’liq dan bagaimana sabitan Ta’liq boleh berlaku?

Jawapan :
Ta’liq ertinya perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan sepertimana diperuntukan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Cerai takliq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas takliq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.

Soalan 2
Apakah maksud Lafaz Kinayah?

Jawapan :
Lafaz Kinayah adalah lafaz-lafaz selain dari perkataan Talaq dan firaq atau cerai. Dengan lain perkataan sekiranya suami Puan menggunakan perkataan yang lain dari itu seperti menyebut "Kau berambus dari rumah ini" contohnya maka lafaz seumpama ini dikenali sebagi lafaz kinayah. Kesan lafaz kinayah ini mengikut Hukum ialah tidak sabit perceraian antara suami isteri tanpa niat menceraikan di pihak suami. Maka dalam kes ini maka pihak suami akan diminta untuk menyatakan samada ketika melafazkan perkataan tersebut beliau ada niat cerai atau sebaliknya. sekiranya beliau menyatakan yang beliau berniat untuk menceraikan isterinya maka sabitlah perceraiaan tersebut dan begitulah sebaliknya.

Soalan 3
Apakah makna Perceraian (Talaq)?

Jawapan :
Talaq ialah pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau seumpamanya berdasarkan Al-Quran, as-Sunnah dan ijma’ ulama’. Perceraian boleh dilakukan dengan lafaz soreh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran), begitu juga perceraian boleh dilakukan dengan talaq raj’ie atau talaq ba’in.

Soalan 4
Bagimanakah bentuk Pembubaran Perkahwinan (Penceraian) yang terdapat dalam Islam yang dipraktikkan di Mahkamah Syariah?

Jawapan :
Penceraian yang terdapat di dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri yang berkuatkuasa di negeri-negeri adalah seperti berikut :
i.    Penceraian dengan lafaz Talaq
ii.   Pengesahan Lafaz Talaq
iii.  Fasakh
iv.  Cerai Takliq
v.   Tebus Talak/Khuluk
vi.  Anggapan Mati

Soalan 5
Bilakah seseorang suami itu boleh dianggap mati?

Jawapan :
Anggapan mati ialah apabila suami seorang perempuan telah mati atau dipercayai telah mati atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh 4 tahun atau lebih. Apabila keadaan itu berterusan dan perempuan itu hendak berkahwin lain, hendaklah terlebih dahulu mendapat pengisytiharan anggapan kematian daripada Mahkamah Syariah.

Soalan 6
Saya telah bercerai dan saya ingin menuntut harta-harta yang telah diperolehi sepanjang perkahwinan, Mahkamah mana yang boleh mendengar tuntutan ini?

Jawapan :
Tuntutan yang ingin dibuat adalah Tuntutan Harta Sepencarian dan Mahkamah yang boleh mendengar tuntutan ini ialah Mahkamah Tinggi Syariah, berdasarkan peruntukan sek. 63(3)(b)(iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Klik disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Pusaka (Faraid)

Soalan 1
Apakah Kes Faraid?

Jawapan :
Kes Faraid ialah kes yang didaftarkan untuk menyelesaikan masalah pembahagian harta pesaka yang ditinggalkan oleh seseorang setelah berlaku kematiannya. Harta pusaka (faraid) terbahagi kepada dua : 
i.     Harta tak alih seperti tanah dan rumah.
ii.  Harta alih adalah seperti wang simpanan bank, saham-saham, KWSP, Tabung Haji, Insuran, Koperasi, kenderaan, barang-barang kemas dan seumpamanya.


Soalan 2
Apakah dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan sijil faraid di Mahkamah Syariah?

Jawapan :
Dokumen yang diperlukan ialah :
i.  Borang permohonan yang lengkap
ii.  Salinan sijil mati si mati atau surat akuan. 
iii. Salinan kad pengenalan waris-waris/sijil kelahiran atau surat akuan. 
iv.  Salinan geran harta/buku akuan/penyata.
v.   Sijil nilaian harta jika ada. 
vi.  Wang proses mengikut nilai penuh harta pusaka.

Klik disini untuk muat turun Borang

Soalan Lazim - Nafkah
Soalan 1
Saya seorang ibu tunggal yang telah diceraikan oleh suami saya dan mempunyai anak. Jika saya ada masalah berkaitan pemberian nafkah oleh suami kepada anak sedangkan telah ada perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah. Jadi di manakah saya boleh merujuk masalah saya ini?

Jawapan :
Dalam perkara ini, apabila puan telah memperolehi perintah dari mahkamah syariah tentang pemberiaan nafkah dan bekas suami puan dengan sengaja cuai ataupun ingkar untuk melaksanakan perintah tersebut, maka puan bolehlah merujuk masalah puan ini di Mahkamah Syariah yang berhampiran. Di Mahkamah Syariah terdapat satu unit yang dipanggil Bahagian Sokongan Kelurga (BSK) khususnya membantu mereka-mereka yang berhadapan dengan masalah berkaitan pelaksanaan perintah pembayaran nafkah.
Antara fungsi-fungsi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) ialah :
i.    Meleraikan Konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.
ii.    Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.
iii.    Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.
iv.    Meyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.
v.    Membetulkan salah faham terhadap kelewatan membabitkan masalah mematuhi perintah mahkamah seperti pembayaran nafkah dan hak penjagaan anak.

Soalan 2
Apakah bentuk nafkah yang perlu disediakan oleh suami kepada isteri yang diceraikan?

Jawapan :
Pemberian nafkah kepada isteri yang diceraikan tertakhluk kepada keadaan isteri yang diceraikan sama ada talak rajie atau bain atau perceraian sebelum persetubuhan. 
i.    Sekiranya seseorang isteri diceraikan oleh suaminya dengan talaq rajie maka menjadi tanggungjawab ke atas suami menyediakan nafkah berikut kepada isterinya selama ia di dalam iddah :
i.    Menyediakan makanan yang sepatutnya. 
ii.    Menyediakan pakaian yang sepatutnya.
iii.    Menyediakan tempat tinggal untuk isteri yang diceraikan itu. 
iv.    Menyediakan apa-apa yang patut kepada seorang isteri seperti belanja perubatan dan sebagainya.
ii.    Sekiranya ia diceraikan oleh suaminya dengan talaq bain, maka isteri tersebut hanya layak mendapat kemudahan tempat tinggal daripada suaminya selama ia di dalam iddah. Tetapi sekiranya ketika diceraikan ia sedang hamil maka dia juga layak mendapat keempat-empat kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talaq rajie. 
iii.    Sekiranya isteri yang diceraikan belum lagi disetubuhi maka dia tidak layak mendapat apa-apa nafkah daripada suaminya. 

Soalan 3
Kenapa Mahkamah tak bayar nafkah sedangkan perintah telah dikeluarkan?

Jawapan :
Mahkamah hanya berkuasa mengeluarkan perintah kepada suami untuk membayar nafkah dan sebagainya. Bayaran itu akan datang dari pihak suami bukan Mahkamah. Tetapi sekiranya pihak suami tidak membayar seperti yang diperintahkan, si isteri atau anak yang berkepentingan dengan nafkah tersebut boleh memohon penguatkuasaan perintah di Mahkamah. Mahkamah akan mengeluarkan perintah penguatkuasaan dalam bentuk samada memerintahkan bayaran secara potongan gaji atau dipenjarakan dan sebagainya sepertimana yang dipohon.

Soalan 4
Apakah yang menyebabkan gugurnya pemberian nafkah iddah ke atas isteri?

Jawapan :
Pemberian nafkah akan gugur dengan sendirinya apabila suami meninggal dunia ketika isterinya di dalam iddah.

Soalan 5
Berapa lamakah tempoh perintah nafkah isteri dan anak-anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah tersebut berkuatkuasa?

Jawapan :
Sesuatu perintah nafkah hendaklah tamat apabila mati orang yang kena membayar nafkah atau apabila mati orang yang berhak menerima nafkah tersebut.
Manakala, lamanya tempoh perintah khusus bagi nafkah anak adalah bergantung keppada perkara-perkara berikut :
i.    Jika sesuatu perintah mengenai nafkah seseorang anak dinyata sebagai selama tempoh yang lebih singkat.
ii.    Jika sesuatu perintah itu telah dibatalkan.
iii.    Jika sesuatu perintah itu dibuat untuk :
  
-   Seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya.
-  Seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya, Perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.

Soalan 6
Adakah jumlah pembayaran nafkah anak yang dikeluarkan sepertimana dalam Perintah Mahkamah boleh diubah?

Jawapan 
Boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa, seseorang yang ada mempunyai kepentingan, boleh membuat permohonan kepada Mahkamah sama ada untuk mengubah atau membatalkan sesuatu perintah mengenai nafkah seseorang anak dengan diasaskan ke atas sesuatu salah pernyataan atau kesilapan fakta atau sesuatu perubahan matan telah berlaku tentang hal keadaan anak tersebut. 

Soalan 7
Siapakah yang perlu menanggung nafkah anak?

Jawapan :
Adalah menjadi kewajipan bagi seorang bapa untuk menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya.  Jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka. Maka, menjadi kewajipan bagi seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak tersebut.

Soalan 8
Adakah tunggakan nafkah isteri dan anak boleh dituntut ke atas bekas suami atau bapa?

Jawapan :
Tunggakan nafkah yang tak bercagar, boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu. Sekiranya tunggakan nafkah itu tidak dilangsaikan sebelum pihak yang mungkir itu mati, tunggakan nafkah tersebut hendaklah menjadi suatu hutang yang perlu dibayar dari harta pusakanya. Manakala, tunggakan nafkah yang tak bercagar pula hendaklah dibayar dalam tempoh orang yang berhak kepada tunggakan nafkah itu masih hidup dan sekiranya orang yang berhak itu mati, maka ia boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri di sisi undang-undang orang itu.

Soalan 9
Siapakah yang perlu menanggung nafkah anak luar nikah (anak tak sahtaraf)?

Jawapan :
Ibu yang melahirkan anak tak sah taraf tersebut adalah orang yang bertanggungjawab untuk menanggung nafkah anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya. Melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol.

Soalan 10
Siapakah yang berkewajipan untuk menanggung nafkah anak angkat?

Jawapan :
Jika seseorang lelaki (bapa angkat) telah menerima seseorang kanak-kanak yang bukan anaknya sebagai seorang ahli keluarganya, maka adalah menjadi kewajipannya menanggung nafkah kanak-kanak itu semasa dia masih seorang kanak-kanak, setakat mana bapa dan ibu kanak-kanak itu tidak berbuat demikian dan Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang perlu bagi memastikan kebajikan kanak-kanak itu.
Klik disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Rujuk
Soalan 1
Bagaimanakah cara untuk rujuk semula dalam waktu iddah?

Jawapan :
Sekiranya ingin rujuk semula dalam waktu iddah, puan dan suami boleh terus hadir secara bersama ke pejabat Agama Islam berdekatan untuk tujuan pendaftaran.

Soalan 2
Bolehkah pengesahan rujuk dibuat di Mahkamah Syariah?

Jawapan :
Boleh, pengesahan rujuk boleh dibuat di Mahkamah Syariah tanpa melalui di pejabat agama islam daerah/negeri-negeri.

Klik 
disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Mut'ah

Soalan 1
Apakah yang dimaksudkan dengan mut‘ah dan bilakan ia dilaksanakan?

Jawapan :
Mut‘ah ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan. Ia dilaksanakan/diberi selepas tamatnya iddah.

Soalan 2
Apakah perkara yang diambil kira oleh Mahkamah untuk membolehkan seseorang itu mendapat mut’ah?

Jawapan :
Mahkamah boleh selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

Klik disini untuk muat turun Borang