Login to your account

Username *
Password *
Remember Me
  • Alamat

    Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)

    Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah

    Persiaran Masjid, Seksyen 5

    40000 Shah Alam

    Selangor Darul Ehsan

    Tel : (603) 55191291 / 55191294 / 55191304 / 55113708

    Faks : (603) 55105620

    Pautan Agensi

    Sitemap

    Paparan terbaik menggunakan :

    IE9 Ke atas/ Firefox 11 Ke atas / Google Chrome resolusi 1280 x 720 ke atas.

    ::Hak Cipta Terpelihara © 2014. Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor:: 

    • Tarikh kemaskini: Selasa 06 April 2021, 01:39:47.

    Total Visitor 9322

    Kubik-Rubik Joomla! Extensions

SOALAN LAZIM

Soalan Lazim - Umum

Soalan 1
Apakah bidang kuasa kes Mal Mahkamah Rendah Syariah Selangor?

Jawapan :
Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah Selangor merangkumi jumlah tuntutan tidak melebihi RM300,000.00.

Soalan 2
Apakah bidang kuasa kes Mal Mahkamah Tinggi Syariah Selangor?

Jawapan :
Bidang kuasa kes Mal Mahkamah Tinggi Syariah Selangor meliputi nilaian tuntutan melebihi RM300,000.00.

Soalan 3
Saya telah mendaftarkan tuntutan / permohonan, bilakah kes saya akan disebut di Mahkamah?

Jawapan :
Setelah kes tersebut didaftar, anda akan diberikan tarikh sebutan, bicara atau Majlis Sulh pada hari yang sama. Kebiasaannya Mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh 21 hari selepas pendaftaran. Namun, tertakluk kepada jumlah kes yang ditetapkan di hadapan Hakim.

Soalan 4
Kes saya telah selesai, bila saya boleh mendapatkan perintah bertulis daripada Mahkamah?

Jawapan :
Perintah Bertulis boleh diperolehi dalam tempoh 30 hari selepas kes diputuskan dan dipohon oleh pelanggan. Manakala bagi permohonan kes Faraid, perintah bertulis / Sijil Perakuan Faraid akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari selepas kes diputuskan.

Soalan 5
Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan khidmat guaman sekiranya saya tidak berkemampuan?

Jawapan :
Anda boleh berhubung dengan Jabatan Bantuan Guaman Negeri Selangor di Aras 6, Plaza Perangsang Persiaran Perbandaran, 40000 Shah Alam. Selangor atau di talian 03-55106192 / 03-55106298.

Soalan 6
Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan borang pendaftaran kes?

Jawapan :

Anda boleh mendapatkan borang pendaftaran kes dengan memuat turun borang di Laman Web ataupun mendapatkan di kaunter Mahkamah Syariah Selangor yang berdekatan.

Klik disini untuk muat turun borang.

Soalan Lazim - Harta Sepencarian
Soalan 1
Saya telah bercerai dan saya ingin menuntut harta-harta yang telah diperolehi sepanjang perkahwinan, Mahkamah mana yang boleh mendengar tuntutan ini?

Jawapan :
Tuntutan yang ingin dibuat adalah Tuntutan Harta Sepencarian dan Mahkamah yang boleh mendengar tuntutan ini ialah Mahkamah Tinggi Syariah, berdasarkan peruntukan sek. 63(3)(b)(iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 203.

Soalan 2
Apakah situasi yang membolehkan Harta Sepencarian dituntut?

Jawapan :

i.   Apabila kematian suami
ii.  Apabila berlaku perceraian
iii. Apabila berlakunya poligami
iv. Apabila pasangan tidak mempunyai anak    

Soalan 3
Apakah yang dimaksudkan dengan Harta Sepencarian?

Jawapan :
Harta Sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Soalan 4
Bagaimanakah Mahkamah menentukan pembahagian Harta Sepencarian?

Jawapan :
Pembahagian Harta Sepencarian di bahagikan mengikut kepada takat sumbangan pihak-pihak (suami dan isteri) secara langsung mahupun tidak langsung di dalam tempoh perkahwinan bagi mendapatkan harta-harta yang telah dituntut.

Soalan 5
Adakah isteri yang tidak bekerja berhak menuntut Harta Sepencarian? Bagaimana Mahkamah melihat sumbangan seorang isteri yang tidak bekerja di dalam Tuntutan Harta Sepencarian?

Jawapan :
Isteri yang tidak bekerja berhak menuntut Harta Sepencarian di Mahkamah. Mahkamah akan melihat kepada sumbangan isteri tersebut secara tidak langsung sepanjang perkahwinan seperti menjaga kebajikan anak-anak dan suami serta usahanya menjaga harta tersebut.

Klik disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Wasiat dan Hibah
Soalan 1
Ibu saudara saya telah meninggal dunia dan arwah tidak meninggalkan wasiat bertulis bagi harta sepeninggalannya. Ketika arwah hidup dia pernah berkata bahawa semua hartanya diserahkan kepada saya dan kakak kerana arwah telah menjaga kami sejak kecil. Jadi, adakah wasiat lisan yang disebutnya itu perlu dilaksanakan? Adakah pembahagian hartanya perlu mengikut hukum faraid iaitu membahagikan kepada ibunya dan adik-beradiknya kerana dia tidak mempunyai suami dan anak?

Jawapan :
Setiap dakwaan yang dikemukakan ke Mahkamah perlu dibuktikan. Jika benar ibu saudara anda telah memberi hartanya kepada anda ia perlu dibuktikan samada melalui akuan sumpah dan saksi serta disokong oleh bukti-bukti yang lain sehingga boleh membuktikan bahawa ianya adalah wasiat. Sekiranya tiada bukti mahupun saksi yang boleh menyokong kead antara ahli warisnya maka adalah sukar untuk membuktikan bahawa wasiat secara lisan telah berlaku dan ini bermakna warisnya mempunyai hak sepenuhnya terhadap harta si mati.

Soalan 2
Apakah perbezaan antara Hibah dan Wasiat?

Jawapan :
Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris manakala Hibah ialah anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad yang mengandungi pemberiaan hak milik oleh pemberi harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengharapkan balasan atau tukaran.

Klik 
disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Hak Jagaan Anak (Hadhanah)
Soalan 1
Siapakah yang berhak terhadap tuntutan hak jagaan anak ?

Jawapan :
Secara asalnya, Hukum Syarak menetapkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak terhadap penjagaan anak (Hadhanah) sekiranya ibu hilang kelayakan dibawah Hukum Syarak maka hak tersebut diberikan kepada nenek sebelah ibu keatas kemudian barulah bapa. Mahkamah juga boleh mempertimbangkan sekiranya wujud pilihan anak dengan membuat pertimbangan kepada kebajikan dan kepentingan anak tersebut.

Soalan 2
Adakah kelayakan ibu sebagai seorang penjaga yang paling berhak boleh hilang?

Jawapan :
Hak seorang ibu terhadap penjagaan (hadhanah) adalah hilang :
i.   Jika dia berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian               dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-         kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan               kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali             semula jika perkahwinan itu dibubarkan.
ii.  Jika dia berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.
iii. Jika dia menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa           kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-           kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil         anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.
iv. Jika dia murtad.
v.  Jika dia mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Soalan 3
Apakah kelayakan-kelayakan untuk menjadi seorang penjaga bagi kanak-kanak (Hadhinah)?

Jawapan :
Seseorang yang berkelayakan untuk menjadi seorang penjaga mestilah dia :
i.    Sempurna akal.
ii.   Berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan              dan kasih saying yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu.
iii.  Berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah.
iv.  Tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-        apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Soalan 4
Berapa lamakah tempoh penjagaan kanak-kanak yang ditetapkan oleh undang-undang?

Jawapan:
Hak penjaga bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki. Manakala umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan. Tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan pihak penjaga tersebut, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan. Setelah tamatnya hak penjaga tersebut, penjagaan adalah turun kepada bapa dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada dengan ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Soalan 5
Bagaimanakah hendak memfailkan tuntutan hak jagaan anak (hadhanah) di Mahkamah Syariah?

Jawapan:
Anda boleh memfailkan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah di mana tempat anda
bermastautin.

Soalan 6
Siapakah yang berhak menjadi penjaga (Hadhinah) bagi seorang anak luar nikah (anak tak sah taraf)?

Jawapan :
Penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.

Klik disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Penceraian
Soalan 1
Apakah yang dimaksudkan dengan Cerai Ta’liq dan bagaimana sabitan Ta’liq boleh berlaku?

Jawapan :
Ta’liq ertinya perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan sepertimana diperuntukan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri. Cerai takliq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas takliq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.

Soalan 2
Apakah maksud Lafaz Kinayah?

Jawapan :
Lafaz Kinayah adalah lafaz-lafaz selain dari perkataan Talaq dan firaq atau cerai. Dengan lain perkataan sekiranya suami Puan menggunakan perkataan yang lain dari itu seperti menyebut "Kau berambus dari rumah ini" contohnya maka lafaz seumpama ini dikenali sebagi lafaz kinayah. Kesan lafaz kinayah ini mengikut Hukum ialah tidak sabit perceraian antara suami isteri tanpa niat menceraikan di pihak suami. Maka dalam kes ini maka pihak suami akan diminta untuk menyatakan samada ketika melafazkan perkataan tersebut beliau ada niat cerai atau sebaliknya. sekiranya beliau menyatakan yang beliau berniat untuk menceraikan isterinya maka sabitlah perceraiaan tersebut dan begitulah sebaliknya.

Soalan 3
Apakah makna Perceraian (Talaq)?

Jawapan :
Talaq ialah pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau seumpamanya berdasarkan Al-Quran, as-Sunnah dan ijma’ ulama’. Perceraian boleh dilakukan dengan lafaz soreh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran), begitu juga perceraian boleh dilakukan dengan talaq raj’ie atau talaq ba’in.

Soalan 4
Bagimanakah bentuk Pembubaran Perkahwinan (Penceraian) yang terdapat dalam Islam yang dipraktikkan di Mahkamah Syariah?

Jawapan :
Penceraian yang terdapat di dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri yang berkuatkuasa di negeri-negeri adalah seperti berikut :
i.    Penceraian dengan lafaz Talaq
ii.   Pengesahan Lafaz Talaq
iii.  Fasakh
iv.  Cerai Takliq
v.   Tebus Talak/Khuluk
vi.  Anggapan Mati

Soalan 5
Bilakah seseorang suami itu boleh dianggap mati?

Jawapan :
Anggapan mati ialah apabila suami seorang perempuan telah mati atau dipercayai telah mati atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh 4 tahun atau lebih. Apabila keadaan itu berterusan dan perempuan itu hendak berkahwin lain, hendaklah terlebih dahulu mendapat pengisytiharan anggapan kematian daripada Mahkamah Syariah.

Soalan 6
Saya telah bercerai dan saya ingin menuntut harta-harta yang telah diperolehi sepanjang perkahwinan, Mahkamah mana yang boleh mendengar tuntutan ini?

Jawapan :
Tuntutan yang ingin dibuat adalah Tuntutan Harta Sepencarian dan Mahkamah yang boleh mendengar tuntutan ini ialah Mahkamah Tinggi Syariah, berdasarkan peruntukan sek. 63(3)(b)(iv) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Klik disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Pusaka (Faraid)

Soalan 1
Apakah Kes Faraid?

Jawapan :
Kes Faraid ialah kes yang didaftarkan untuk menyelesaikan masalah pembahagian harta pesaka yang ditinggalkan oleh seseorang setelah berlaku kematiannya. Harta pusaka (faraid) terbahagi kepada dua : 
i.     Harta tak alih seperti tanah dan rumah.
ii.  Harta alih adalah seperti wang simpanan bank, saham-saham, KWSP, Tabung Haji, Insuran, Koperasi, kenderaan, barang-barang kemas dan seumpamanya.


Soalan 2
Apakah dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan sijil faraid di Mahkamah Syariah?

Jawapan :
Dokumen yang diperlukan ialah :
i.  Borang permohonan yang lengkap
ii.  Salinan sijil mati si mati atau surat akuan. 
iii. Salinan kad pengenalan waris-waris/sijil kelahiran atau surat akuan. 
iv.  Salinan geran harta/buku akuan/penyata.
v.   Sijil nilaian harta jika ada. 
vi.  Wang proses mengikut nilai penuh harta pusaka.

Klik disini untuk muat turun Borang

Soalan Lazim - Nafkah
Soalan 1
Saya seorang ibu tunggal yang telah diceraikan oleh suami saya dan mempunyai anak. Jika saya ada masalah berkaitan pemberian nafkah oleh suami kepada anak sedangkan telah ada perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah. Jadi di manakah saya boleh merujuk masalah saya ini?

Jawapan :
Dalam perkara ini, apabila puan telah memperolehi perintah dari mahkamah syariah tentang pemberiaan nafkah dan bekas suami puan dengan sengaja cuai ataupun ingkar untuk melaksanakan perintah tersebut, maka puan bolehlah merujuk masalah puan ini di Mahkamah Syariah yang berhampiran. Di Mahkamah Syariah terdapat satu unit yang dipanggil Bahagian Sokongan Kelurga (BSK) khususnya membantu mereka-mereka yang berhadapan dengan masalah berkaitan pelaksanaan perintah pembayaran nafkah.
Antara fungsi-fungsi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) ialah :
i.    Meleraikan Konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.
ii.    Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.
iii.    Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.
iv.    Meyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.
v.    Membetulkan salah faham terhadap kelewatan membabitkan masalah mematuhi perintah mahkamah seperti pembayaran nafkah dan hak penjagaan anak.

Soalan 2
Apakah bentuk nafkah yang perlu disediakan oleh suami kepada isteri yang diceraikan?

Jawapan :
Pemberian nafkah kepada isteri yang diceraikan tertakhluk kepada keadaan isteri yang diceraikan sama ada talak rajie atau bain atau perceraian sebelum persetubuhan. 
i.    Sekiranya seseorang isteri diceraikan oleh suaminya dengan talaq rajie maka menjadi tanggungjawab ke atas suami menyediakan nafkah berikut kepada isterinya selama ia di dalam iddah :
i.    Menyediakan makanan yang sepatutnya. 
ii.    Menyediakan pakaian yang sepatutnya.
iii.    Menyediakan tempat tinggal untuk isteri yang diceraikan itu. 
iv.    Menyediakan apa-apa yang patut kepada seorang isteri seperti belanja perubatan dan sebagainya.
ii.    Sekiranya ia diceraikan oleh suaminya dengan talaq bain, maka isteri tersebut hanya layak mendapat kemudahan tempat tinggal daripada suaminya selama ia di dalam iddah. Tetapi sekiranya ketika diceraikan ia sedang hamil maka dia juga layak mendapat keempat-empat kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talaq rajie. 
iii.    Sekiranya isteri yang diceraikan belum lagi disetubuhi maka dia tidak layak mendapat apa-apa nafkah daripada suaminya. 

Soalan 3
Kenapa Mahkamah tak bayar nafkah sedangkan perintah telah dikeluarkan?

Jawapan :
Mahkamah hanya berkuasa mengeluarkan perintah kepada suami untuk membayar nafkah dan sebagainya. Bayaran itu akan datang dari pihak suami bukan Mahkamah. Tetapi sekiranya pihak suami tidak membayar seperti yang diperintahkan, si isteri atau anak yang berkepentingan dengan nafkah tersebut boleh memohon penguatkuasaan perintah di Mahkamah. Mahkamah akan mengeluarkan perintah penguatkuasaan dalam bentuk samada memerintahkan bayaran secara potongan gaji atau dipenjarakan dan sebagainya sepertimana yang dipohon.

Soalan 4
Apakah yang menyebabkan gugurnya pemberian nafkah iddah ke atas isteri?

Jawapan :
Pemberian nafkah akan gugur dengan sendirinya apabila suami meninggal dunia ketika isterinya di dalam iddah.

Soalan 5
Berapa lamakah tempoh perintah nafkah isteri dan anak-anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah tersebut berkuatkuasa?

Jawapan :
Sesuatu perintah nafkah hendaklah tamat apabila mati orang yang kena membayar nafkah atau apabila mati orang yang berhak menerima nafkah tersebut.
Manakala, lamanya tempoh perintah khusus bagi nafkah anak adalah bergantung keppada perkara-perkara berikut :
i.    Jika sesuatu perintah mengenai nafkah seseorang anak dinyata sebagai selama tempoh yang lebih singkat.
ii.    Jika sesuatu perintah itu telah dibatalkan.
iii.    Jika sesuatu perintah itu dibuat untuk :
  
-   Seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya.
-  Seorang anak lelaki yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya, Perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.

Soalan 6
Adakah jumlah pembayaran nafkah anak yang dikeluarkan sepertimana dalam Perintah Mahkamah boleh diubah?

Jawapan 
Boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa, seseorang yang ada mempunyai kepentingan, boleh membuat permohonan kepada Mahkamah sama ada untuk mengubah atau membatalkan sesuatu perintah mengenai nafkah seseorang anak dengan diasaskan ke atas sesuatu salah pernyataan atau kesilapan fakta atau sesuatu perubahan matan telah berlaku tentang hal keadaan anak tersebut. 

Soalan 7
Siapakah yang perlu menanggung nafkah anak?

Jawapan :
Adalah menjadi kewajipan bagi seorang bapa untuk menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya.  Jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka. Maka, menjadi kewajipan bagi seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak tersebut.

Soalan 8
Adakah tunggakan nafkah isteri dan anak boleh dituntut ke atas bekas suami atau bapa?

Jawapan :
Tunggakan nafkah yang tak bercagar, boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu. Sekiranya tunggakan nafkah itu tidak dilangsaikan sebelum pihak yang mungkir itu mati, tunggakan nafkah tersebut hendaklah menjadi suatu hutang yang perlu dibayar dari harta pusakanya. Manakala, tunggakan nafkah yang tak bercagar pula hendaklah dibayar dalam tempoh orang yang berhak kepada tunggakan nafkah itu masih hidup dan sekiranya orang yang berhak itu mati, maka ia boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri di sisi undang-undang orang itu.

Soalan 9
Siapakah yang perlu menanggung nafkah anak luar nikah (anak tak sahtaraf)?

Jawapan :
Ibu yang melahirkan anak tak sah taraf tersebut adalah orang yang bertanggungjawab untuk menanggung nafkah anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya. Melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol.

Soalan 10
Siapakah yang berkewajipan untuk menanggung nafkah anak angkat?

Jawapan :
Jika seseorang lelaki (bapa angkat) telah menerima seseorang kanak-kanak yang bukan anaknya sebagai seorang ahli keluarganya, maka adalah menjadi kewajipannya menanggung nafkah kanak-kanak itu semasa dia masih seorang kanak-kanak, setakat mana bapa dan ibu kanak-kanak itu tidak berbuat demikian dan Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang perlu bagi memastikan kebajikan kanak-kanak itu.
Klik disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Rujuk
Soalan 1
Bagaimanakah cara untuk rujuk semula dalam waktu iddah?

Jawapan :
Sekiranya ingin rujuk semula dalam waktu iddah, puan dan suami boleh terus hadir secara bersama ke pejabat Agama Islam berdekatan untuk tujuan pendaftaran.

Soalan 2
Bolehkah pengesahan rujuk dibuat di Mahkamah Syariah?

Jawapan :
Boleh, pengesahan rujuk boleh dibuat di Mahkamah Syariah tanpa melalui di pejabat agama islam daerah/negeri-negeri.

Klik 
disini untuk muat turun Borang
Soalan Lazim - Mut'ah

Soalan 1
Apakah yang dimaksudkan dengan mut‘ah dan bilakan ia dilaksanakan?

Jawapan :
Mut‘ah ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan. Ia dilaksanakan/diberi selepas tamatnya iddah.

Soalan 2
Apakah perkara yang diambil kira oleh Mahkamah untuk membolehkan seseorang itu mendapat mut’ah?

Jawapan :
Mahkamah boleh selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

Klik disini untuk muat turun Borang

Soalan Lazim - Perkhidmatan Secara Dalam Talian
Soalan 1
Bagaimanakah saya ingin mengetahui tarikh tangguhan kes sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB)?

Jawapan:
Semakan tarikh tangguhan bagi prosiding sebutan/perbicaraan adalah melalui notis tangguhan/panggilan telefon/semakan status dalam Portal Rasmi Esyariah pada pautan berikut: https://bit.ly/3aSJjj7/ MySMS.

 
Soalan 2
Bagaimanakah saya boleh berurusan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB)?

Jawapan:
Segala urusan mahkamah termasuk Wakalah/afidavit/Majlis Sulh/perbicaraan/sebutan kes boleh dibuat melalui sidang video dengan permohonan dan persetujuan bersama Plaintif/Pemohon dan Defendan/Responden.

 
Soalan 3
Bagaimana saya boleh mendapatkan khidmat nasihat rundingcara sepanjang tempoh PKPB?
 
Jawapan:
Perkhidmatan rundingcara dilaksanakan secara dalam talian telefon. Sesi runding cara melibatkan perkhidmatan runding cara kepada pelanggan yang tidak perlu hadir secara fizikal ke Mahkamah.


Soalan 4
Sekiranya saya gagal mendapatkan perkhidmatan secara atas talian, apa yang boleh saya buat?
 
Jawapan:
Sebarang pertanyaan dan janji temu bagi perkhidmatan yang tiada kemudahan aplikasi dalam talian, boleh hubungi talian telefon premis Mahkamah Syariah Negeri Selangor yang berkaitan seperti di laman sesawang www.jakess.gov.my.
 

Soalan 5
Adakah wakalah peguam syarie boleh dilakukan secara atas talian?
 
Jawapan:
Boleh. Peguam Syarie yang telah dilantik dan perlantikan secara wakalah boleh dibuat secara atas talian. Urusan Wakalah dan afidavit bagi kes yang diwakili peguam juga hanya melibatkan kehadiran Peguam sahaja di Mahkamah tanpa kehadiran pelanggan secara fizikal melalui sidang video.
 

Soalan 6
Apakah syarat-syarat permohonan wakalah secara sidang video (atas talian)?
 
Jawapan:
  • Kelulusan adalah tertakluk kepada Penolong Pendaftar.
  • Tarikh, masa dan tempat adalah ditetapkan oleh pihak Mahkamah.
  • Fasiliti dan kemudahan wakalah secara sidang video disediakan oleh Peguam Syarie atau pihak-pihak sendiri.
  • Sekiranya berlaku masalah teknikal semasa wakalah/afidavit secara sidang video berlangsung atau berlaku ketidakhadiran salah satu pihak, Mahkamah boleh menangguhkan ke satu tarikh yang lain.
  • Sekiranya berlaku ketidakhadiran kedua-dua pihak pada sesi yang telah ditetapkan, pihak Mahkamah boleh untuk membatalkan permohonan tersebut.
  • Penolong Pendaftar hendaklah memastikan Garis Panduan COVID-19 Kementerian Kesihatan Malaysia adalah dipatuhi sepanjang sesi wakalah dijalankan.
 
Soalan 7
Adakah sebutan/perbicaraan kes boleh dilaksanakan secara atas talian sepanjang tempoh PKPB?
 
Jawapan:
Boleh. Sebutan/perbicaraan kes boleh dibuat melalui aplikasi Skype For Business atau apa-apa medium dalam talian tetapi pemakluman awal hendaklah dibuat kepada Ketua Pendaftar/Pendaftar/Penolong Pendaftar.

 
Soalan 8
Adakah terdapat syarat-syarat permohonan pendengaran kes secara dalam talian?
 
Jawapan:
Ada. Antara syarat-syaratnya adalah sebagaimana berikut:
  • Permohonan hanya melibatkan kes yang berstatus dalam prosiding dan kes baharu setakat yang dibenarkan oleh Jabatan dari masa ke semasa.
  • Jika salah seorang pihak memohon untuk sebutan/perbicaraan secara dalam talian dan pihak satu lagi bersedia untuk sebutan/perbicaraan di dalam dewan bicara.
  • Kesemua pihak mestilah bersetuju (termasuk Plaintif, Defendan, saksi-saksi) untuk perbicaraan dijalankan secara dalam talian.
  • Kelulusan adalah tertakluk kepada Hakim Bicara.
  • Tarikh dan masa sebutan/perbicaraan adalah ditetapkan oleh Mahkamah.
  • Fasiliti sebutan/perbicaraan secara dalam talian pihak-pihak adalah disediakan oleh pihak-pihak sendiri.
  • Sekiranya berlaku masalah teknikal semasa prosiding sebutan/perbicaraan berlangsung atau berlaku ketidakhadiran salah satu pihak, Mahkamah akan menangguhkan prosiding ke satu tarikh yang lain.
  • Sebarang dokumen yang dimuat naik secara dalam talian sewaktu sebutan/ perbicaraan secara dalam talian, pelanggan perlu memfailkan semula secara hard copy ke kaunter Mahkamah mengikut tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah.
  • Pihak-pihak dan Peguam Syarie dilarang untuk merekod secara visual atau audio di sepanjang prosiding berjalan. Sekiranya didapati berlaku, boleh dikenakan tindakan menghina Mahkamah.
 
Soalan 9
Adakah saya masih boleh pergi ke mahkamah untuk mendapatkan borang permohonan kes sepanjang tempoh PKPB?
 
Jawapan:
Tidak Perlu. Mahkamah tidak lagi menyediakan borang bercetak dan pelanggan perlu memuat turun borang pemfailan kes melalui laman web https://www.jakess.gov.my/index.php/ms/muat-turun-borang.

 
Soalan 10
Adakah Majlis Sulh boleh dilaksanakan secara dalam talian? Apakah syarat-syarat yang perlu dipatuhi?
 
Jawapan:
Boleh. Namun terdapat syarat-syarat permohonan menjalani Majlis Sulh dalam talian. Antaranya permohonan kes Sulh hendaklah:
  • Yang telah mempunyai persetujuan di antara pihak-pihak; atau
  • Yang belum mempunyai persetujuan di antara pihak-pihak dan tertakluk kepada kebenaran Mahkamah.
  • Pihak-pihak bersetuju untuk menjalani Majlis Sulh secara dalam talian.
  • Mahkamah dan pihak-pihak hendaklah mempunyai kemudahan aplikasi Skype.
 
Soalan 11
Bagaimana saya boleh memohon untuk melakukan Majlis Sulh secara atas talian?
 
Jawapan:
  • Pihak-pihak hendaklah membuat permohonan dengan mengisi borang permohonan menjalani Majlis Sulh secara dalam talian dan menghantar melalui e-mel kepada Mahkamah.
  • Majlis Sulh dalam talian akan dilaksanakan pada hari bekerja sahaja dan tertakluk kepada jadual yang ditetapkan oleh Mahkamah.
  • Hanya Pegawai Sulh dan pihak-pihak yang terlibat dengan Majlis Sulh sahaja yang dibenarkan menjalani Majlis Sulh dalam talian. Orang awam, ahli keluarga dan kanak-kanak adalah tidak dibenarkan menyertai Majlis Sulh dalam talian tersebut.
  • Peguam Syarie yang telah dilantik tidak boleh menyertai Majlis Sulh dalam talian, kecuali dengan kebenaran Pengerusi/ Pegawai Sulh.
  • Pihak-pihak hendaklah berpakaian sopan dan menutup aurat sepanjang prosiding Majlis Sulh dalam talian berjalan.
  • Pengendorsan Perjanjian Persetujuan di hadapan Hakim akan dibuat pada tarikh yang akan ditetapkan oleh Mahkamah.
  • Sebarang rakaman secara visual atau audio sepanjang Majlis Sulh dalam talian berjalan adalah tidak dibenarkan sama sekali. Sekiranya didapati berlaku, boleh dikenakan tindakan menghina Mahkamah.
 
Soalan 12
Sepanjang tempoh PKPB, adakah terdapat khidmat runding cara Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) secara dalam talian?
 
Jawapan:
Ada. Namun syarat-syarat pengendalian runding cara (BSK) dalam talian adalah sebagaimana berikut:
  • Setelah notis runding cara dikeluarkan, Pihak-pihak akan dihubungi untuk pengesahan runding cara sama ada boleh dijalankan melalui Skype atau telefon.
  • Runding cara dalam talian akan dilaksanakan pada hari bekerja sahaja.
  • Hanya Pegawai Runding cara dan pihak-pihak yang terlibat.
  • Pihak-pihak hendaklah bersikap sopan sepanjang prosiding runding cara berjalan secara dalam talian.
  • Bagi runding cara melalui telefon, pegawai runding cara akan menghubungi pihak-pihak secara bergilir-gilir.
  • Perjanjian Persetujuan akan disediakan selepas persetujuan dicapai.
  • Sebarang rakaman secara visual atau audio sepanjang runding cara dalam talian berjalan adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Soalan Lazim - Permohonan Menghidupkan Semula Kes Yang Dibuang
Soalan 1
Bolehkah saya menghidupkan semula kes saya yang telah dibuang?
 
Jawapan:
Boleh. Berdasarkan peruntukan Seksyen 209 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003:
 
(1) Seseorang Hakim boleh—
(a) menjalankan semua kewajipan dan kuasa yang diberikan kepadanya oleh mana-mana undang-undang bertulis;
(b) menjalankan fungsinya di dalam Mahkamah atau di dalam Kamar mengenai apa-apa prosiding dalam had bidang kuasa tempatannya; dan
(c) mencatatkan penghakiman yang dibuat melalui pengakuan atau persetujuan pihak-pihak di dalam Mahkamah atau di dalam Kamar.
 
(2) Seseorang Hakim boleh menjalankan di dalam Mahkamah atau di dalam Kamar segala kuasa yang diberikan kepada Pendaftar di bawah seksyen 208.
(3) Seseorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah boleh, atas permohonan mana-mana pihak atau mengikut budi bicaranya sendiri, memerintahkan Mahkamah Rendah Syariah supaya menghidupkan semula mana-mana kes yang telah ditolaknya.
(4) Ketua Hakim Syarie boleh, atas permohonan mana-mana pihak atau mengikut budi bicaranya sendiri, memerintahkan mana-mana Mahkamah supaya menghidupkan semula mana-mana kes yang telah ditolak.
 

Soalan 2
Saya telah menarik balik kes yang sedang dalam perbicaraan, boleh atau tidak untuk saya hidupkan semula kes tersebut?
 
Jawapan:
Boleh. Namun tidak dibenarkan untuk difailkan semula bagi kes yang sama atau kausa tindakan yang sama atau perkara pada matan yang sama kecuali kebenaran perlu diperolehi terlebih dahulu dari Mahkamah yang lebih tinggi dari peringkat memfailkan kes terdahulu. Perkara ini dijelaskan di dalam peruntukan seksyen 96 ETMMS 2003 iaitu;
 
Jika plaintif telah menarik balik prosiding di bawah seksyen 95, dia tidak boleh kemudiannya membawa tindakan bagi kausa tindakan yang sama, atau bagi kausa tindakan yang pada matannya adalah sama melainkan jika Mahkamah telah memberikan kebenaran untuk memulakan prosiding yang baru.
 

Soalan 3
Apakah prosedur menghidupkan semula kes yang telah dibuang?
 
Jawapan:
Berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah seluruh Malaysia Bil. 1 Tahun 2005 prosedur menghidupkan semula kes adalah sebagaimana berikut:
  • Pemohon hendaklah mengemukakan Permohonan untuk menghidupkan semula kes berserta afidavit sokongan;
  • Mahkamah dalam hal ini hendaklah memberikan nombor dan kod kes yang baru kepada kes yang dihidupkan semula itu pada fail kes yang sama.
 
Soalan 4
Saya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sakit dan tidak berupaya memaklumkan ketidakhadiran saya kepada mahkamah. Namun mahkamah membuang kes saya. Adakah saya masih berpeluang menghidupkan semula kes?
 
Jawapan:
Boleh. Mahkamah akan melihat alasan permohonan Pemohon untuk menghidupkan semula kes tesebut.
 

Soalan 5
Apakah terdapat syarat-syarat bagi permohonan menghidupkan semula kes?
 
Jawapan:
Mengikut Arahan Amalan No 15 Tahun 2002 berkenaan dengan tindakan untuk Membuka Semula Kes:
“apa-apa arahan berhubungan pendengaran semula kes bagi fail yang telah dibatalkan atau ditolak hendaklah dinyatakan alasan-alasan berkaitan agar membantu pihak-pihak terlibat menyegerakan prosiding kes”.
 
Mahkamah akan menilai alasan-alasan yang dikemukakan oleh P bagi mewajarkan kebenaran diberikan.
Soalan Lazim – Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)
Soalan 1:
Apa itu Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)?
 
Jawapan:
BSK merupakan satu bahagian yang ditubuhkan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang bertujuan untuk menguatkuasakan perintah nafkah/ mut’ah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

 
Soalan 2:
Kenapa BSK diwujudkan?
 
Jawapan:
BSK diwujudkan bagi memastikan perintah nafkah dan mut’ah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dipatuhi dan dilaksanakan oleh bekas suami/ bapa kepada anak-anak.
 

Soalan 3
Apa yang perlu dilakukan apabila bekas suami/ bapa enggan membayar nafkah/ mut’ah sepertimana yang diperintah oleh mahkamah?
 
Jawapan:
Bekas isteri/ anak boleh membuat aduan kepada BSK. Seterusnya pegawai BSK akan menjalankan tindakan lanjut seperti mengadakan sesi runding cara melibatkan kedua-dua belah pihak untuk mendapatkan penyelesaian. Jika tiada penyelesaian dicapai, maka kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah akan difailkan di Mahkamah Syariah.
 

Soalan 4
Apakah dokumen yang perlu dikemukakan kepada BSK ketika aduan dilakukan?
 
Jawapan:
Dokumen yang perlu dikemukakan adalah:-
  1. Salinan perintah nafkah/ mut’ah yang dikeluarkan oleh Mahkamah
  2. Salinan sijil penceraian
  • Kad pengenalan pemohon; dan
  1. Salinan MyKid/ surat beranak anak
 
Soalan 5
Selain menerima aduan, adakah BSK bertindak proaktif memantau kes-kes nafkah/ mut’ah yang telah dikeluarkan perintah?
 
Jawapan:
Ya, bermula tahun 2012 BSK telah mewujudkan sistem e-Nafkah yang bertindak selaku fail maya. Selain itu, sistem ini juga bertindak secara dwi fungsi dengan mempunyai bank data dan akan memuat naik segala perintah nafkah/ mut’ah yang dikeluarkan oleh Mahkamah.
 

Soalan 6
Apakah jenis penguatkuasaan yang akan dilakukan?
 
Jawapan:
Jenis penguatkuasaan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:-
  1. Saman Penghutang Penghakiman (Judgment Debtor Summon);
  2. Notis Penghakiman (Judgment Notice);
  • Penyitaan dan Penjualan (Seizure and Sale);
  1. Hiwalah (Garnishment);
  2. Perintah Pemenjaraan kerana Menghina Mahkamah (Committal Order).
 
Soalan 7
Adakah bantuan kewangan akan diberikan kepada bekas isteri/ anak-anak sepanjang prosiding penguatkuasaan perintah berlangsung di Mahkamah?
 
Jawapan:
Ya, bekas isteri/ anak-anak yang telah mendaftar kes di BSK boleh memohon pendahuluan nafkah. Setiap permohonan akan ditapis berdasarkan kelayakan tertentu dan dana tersebut akan diberikan selama enam (6) bulan. Walau bagaimanapun pendahuluan ini akan dikutip semula melalui tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah.
 

Soalan 8
Adakah perintah nafkah/ mut’ah yang dikeluarkan selepas 6 tahun boleh dilaksanakan?
 
Jawapan:
Ya, boleh dilaksanakan.
Soalan Lazim- Hakam
Soalan 1
Apakah yang dimaksudkan dengan Hakam?
 
Jawapan:
Seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri;

Soalan 2
Apakah yang dimaksudkan dengan Syiqaq?

Jawapan:
 “shiqaq” ertinya perkelahian antara suami dan isteri yang berlarutan sehingga menjejaskan kerukunan rumah tangga.
 
Soalan 3
Apakah dalil Syarak tentang pensyariatan Hakam?
 
Jawapan:
Firman Allah di dalam Surah al-Nisa’ ayat 58 maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik.”
 
An-Nasai meriwayatkan daripada Abi Syuraih telah berkata seseorang kepada Rasullullah S.A.W : “Wahai Rasullullah bahawa kaumku ini apabila berlaku perselisihan dalam sesuatu perkara mereka akan dating kepadaku,maka aku buat keputusan bagi mereka berdua,maka Rasullullah S.A.W berkata kepadanya tidak ada yang lebih baik daripada ini”
 
Soalan 4
Apakah peruntukan undang-undang yang membenarkan penyelesaian kes melalui proses Hakam?
 
Jawapan:
Peruntukan berkaitan Hakam ada dinyatakan di dalam Seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014.
 
Seksyen 48. Timbangtara oleh Hakam

(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

(2) Pada melantik Hakam di bawah subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(3) Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada Hakam tentang hal menjalankan penimbangtaraan dan mereka hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu dan Hukum Syarak.

(4) Jika Hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak puas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik Hakam lain bagi menggantikan mereka.

(5) Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan sedemikian oleh Mahkamah, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(6) Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan penceraian oleh kerana sesuatu sebab, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan perintah itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(7) Melainkan jika dia adalah anggota keluarga terdekat pihak itu, maka tiada seorang pun atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.
 

Soalan 5
Bilakah bermulanya proses untuk perlantikan Hakam?
 
Jawapan:
Perlantikan Hakam dibuat selepas berlakunya proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dimana semasa proses akhir laporan Jawatankuasa Pendamai pihak-pihak gagal mencapai perdamaian dan pihak suami enggan untuk melafazkan cerai walaupun setelah dinasihatkan oleh Mahkamah, Mahkamah hendaklah mengarahkan pembentukan Hakam setelah mahkamah mensabitkan syiqaq antara pasangan suami isteri tersebut.
 
Dalam keadaan tuntutan oleh isteri untuk mendapatkan pembubaran perkahwinan tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah atas alasan dia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan Mahkamah mendapati pertikaian (syiqaq) itu masih lagi berterusan atau berulang antara suami isteri tersebut


Soalan 6
Bagaimanakah sabitan Syiqaq ditentukan oleh Mahkamah sebelum melantik Hakam?
 
Jawapan:
Sebelum melantik Hakam, Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa shiqaq telah berlaku antara suami dan isteri setelah Mahkamah menjalankan siasatan.
(a) perkelahian yang kerap antara suami dan isteri itu sama ada oleh sebab :
(i) nusyuz isteri;
(ii) kezaliman suami;
(iii) ketidaktentuan siapa yang benar antara kedua-duanya; atau
(iv) salah satu pihak atau kedua-dua pihak berdusta atau menuntut yang bukan hak.
 
(b) perkelahian yang kerap antara suami dan isteri sehingga menimbulkan kesukaran menjalankan tanggungjawab masing-masing dan saling tuduh menuduh tidak melaksanakan hak sebagai suami dan isteri;
 
(c)  suami atau isteri saling tuduh-menuduh antara keduanya mempunyai
hubungan yang melampaui Hukum Syarak dengan perempuan atau lelaki lain;
 
(d)  perkelahian yang kerap hingga menyebabkan pukul-memukul;
 
(e)  salah seorang meninggalkan rumah kediaman, tidak tinggal bersama
sedangkan punca sebenar tidak dapat dibuktikan oleh kedua-dua pihak di hadapan Mahkamah;
 
(f) suami atau isteri saling tuduh-menuduh antara keduanya mengenai tanggungjawab masing-masing terhadap anak-anak sehingga berlaku pertikaian dan perkelahian yang kerap;
 
(g) jika didapati bahawa sebarang tuntutan oleh isteri untuk mendapatkan pembubaran perkahwinan tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah atas alasan dia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan Mahkamah mendapati pertikaian itu masih lagi berterusan atau berulang antara suami isteri tersebut; atau
 
(h)  apa-apa tindakan yang menyebabkan darar syarie ke atas isteri atau suami.


Soalan 7
Siapakah yang dimaksudkan sebagai anggota Panel Hakam?
 
Jawapan:
Angota Panel Hakam ertinya anggota panel Hakam yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor atas cadangan Jawatankuasa Hakam yang berperanan sebagai penimbang tara yang diberi kuasa oleh oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri.

 
Soalan 8
Apakah yang dimaksudkan dengan Majlis Tahkim?
 
Jawapan:
Majlis Tahkim ialah sesi timbang tara atau proses penyelesaian perkelahian (shiqaq) yang melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dengan Hakam untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talaq atau dengan khulu’.

 
Soalan 9
Berapa peringkat Majlis Tahkim ?
 
Jawapan:
Majlis Tahkim ada dua peringkat yang mana peringkat pertama pelantikan dikalangan ahli atau kaum kerabat. Sekiranya tiada penyelesaian maka proses seterusnya adalah pelantikan yang kedua iaitu terdiri daripada anggota Panel Hakam yang dilantik oleh Mahkamah yang memberikan kuasa penuh dalam pelaksanaan Majlis Tahkim sehingga selesai.

 
Soalan 10
Adakah pihak-pihak (suami atau isteri) perlu memohon untuk Majlis Tahkim?
 
Jawapan:
Tidak perlu.
 

Soalan 11
Apakah perkara yang perlu pihak-pihak tahu semasa menghadiri Majlis Tahkim?
 
Jawapan:
 
Pihak-pihak perlu tahu matlamat Majlis Tahkim adalah mencari penyelesaian antara kedua pihak melalui perdamaian(islah) dengan tujuan mengekalkan perkahwinan atau perceraian sekiranya jalan perdamaian gagal dicapai.
Pihak-pihak perlu memberi penjelasan tentang masalah sebenar yang berlaku dalam rumahtangga.
Memberi kerjasama,bertoleransi, jujur,sopan dan menghormati Hakam dan Majlis Tahkim.
Berusaha sebaik mungkin untuk mencapai penyelesaian.

 
Soalan 12
Bilakah bermulanya prosiding Majlis Tahkim?
 
Jawapan:
Prosiding Majlis Tahkim bermula selepas pelantikan hakam dibuat.

 
Soalan 13
Berapa lama tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim?
 
Jawapan:
Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim adalah tidak melebihi tiga puluh hari dari tarikh perintah pelantikan dan perisytiharan Hakam yang dikeluarkan oleh Mahkamah. Mahkamah boleh melanjutkan tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim atas sebab-sebab yang perlu tetapi tempoh pelanjutan tersebut tidak melebihi tempoh enam puluh hari dari tarikh pelanjutan diberi.

 
Soalan 14
Adakah pihak lain atau peguam syarie dibenarkan hadir dihadapan Hakam?
 
Jawapan:
Tiada pihak lain atau Peguam Syarie dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam melainkan jika dia adalah anggota keluarga terdekat pihak-pihak itu.

 
Soalan 15
Bagaimanakah jika suami atau isteri atau kedua-duanya enggan hadir dalam prosiding Majlis Tahkim?
 
Jawapan:
Keengganan suami atau isteri atau kedua-dua pihak hadir dalam Majlis Tahkim tidak menyebabkan prosiding terhenti dan Hakam boleh membuat keputusan.

 
Soalan 16
Adakah keputusan Majlis Tahkim dapat dicapai jika salah satu Hakam berbeza pendapat ?
 
Jawapan:
Tidak. Keputusan Majlis Tahkim hanya dapat dicapai dan sah apabila kedua-dua Hakam membuat keputusan yang sama
 

Soalan 17
Adakah keputusan Majlis Tahkim boleh dirayu?
 
Jawapan:
Perceraian yang diputuskan dalam Majlis Tahkim adalah muktamad dan tiada rayuan dibenarkan namun permohonan semakan oleh pihak-pihak boleh dibuat terhadap prosiding Majlis Tahkim tersebut.

 
Soalan 18
Bagaimanakah jenis perceraian melalui Majlis Tahkim ditentukan sama ada secara talaq atau khulu’?
 
Jawapan:
Setelah kedua-dua Hakam berpuas hati bahawa perdamaian gagal dicapai oleh kedua-dua pihak, Hakam perlu menentukan pihak yang menjadi punca kepada berlakunya syiqaq;
  • Jika shiqaq itu berpunca daripada suami atau kedua-dua suami dan isteri, kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talaq;
  • Jika shiqaq itu berpunca daripada isteri, kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khuluk dan kadar ‘iwadh hendaklah diputuskan oleh Hakam;
  • jika tidak dapat ditentukan puncanya dan tuntutan perceraian dibuat oleh suami, maka kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talaq;atau
  • tidak dapat ditentukan puncanya dan tuntutan perceraian dibuat oleh isteri, maka kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khulu’ dan kadar ‘iwadh hendaklah diputuskan oleh Hakam.
 
Soalan 19
Apakah hukum lafaz talak oleh Hakam?
 
Jawapan:
Talak bain sughro dan bekas suami tidak boleh rujuk bekas isterinya semula melainkan dengan akad nikah yang baru.

 
Soalan 20
Dimanakah tempat prosiding Majlis Tahkim dilaksanakan?
 
Jawapan:
Majlis Tahkim hendaklah dilaksanakan di Mahkamah Syariah atau dimana-mana tempat lain yang dibenarkan oleh Mahkamah.
 

Soalan 21
Adakah perbincangan dan rundingan antara suami atau isteri bersama Hakam masing-masing semasa Majlis Tahkim bersifat rahsia?
 
Jawapan:
Perbincangan dan rundingan bersifat kerahsiaan tanpa melibatkan mana-mana pihak kecuali hakam-hakam yang dilantik.
 

Soalan 22
Bagaimana kadar ‘Iwadh ditentukan jika perceraian melalui Hakam secara khul’?
 
Jawapan:
Kadar ‘Iwadh ditentukan oleh Hakam . Sekiranya Hakam gagal mencapai persetujuan maka Hakim akan menentukan kadar ‘Iwadh mengikut Hukum Syarak.
 

Soalan 23
Bila terhentinya prosiding Majlis Tahkim?
 
Jawapan:
Prosiding Majlis Tahkim terhenti, jika—

(a) suami atau isteri itu mati;
(b) suami atau isteri tidak sempurna akal;
(c) Hakam menarik diri sebagai Hakam
(d) wujud sebab lain yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.
 

Soalan 24
Apakah kelebihan Hakam dalam menyelesaikan kes-kes penceraian di Mahkamah Syariah?
 
Jawapan:
Hakam merupakan salah satu kaedah bagi menyelesaikan isu syiqaq dalam rumahtangga. Hakam memberi ruang pihak-pihak (suami dan isteri) untuk menentukan jalan perdamaian atau perceraian. Penyelesaian kes melalui Hakam dapat diselesaikan dengan kadar yang lebih cepat berbanding ta’liq dan fasakh.
 

Soalan 25
Apakah perbezaan antara Kehakiman dan Tahkim?
 
Jawapan:
  • Hakim dilantik oleh Pemerintah (Sultan) manakala Hakam dilantik oleh pihak-pihak yang bertikai atau Hakim.
  • Bidangkuasa Hakim adalah luas dan meliputi wilayah ammah manakala Hakam mempunyai kuasa yang khas mengikut jenis perceraian yang ditentukan sahaja.
  • Hakim mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Hakam dan boleh mendengar semua perkara yang dibenarkan kepada Hakam sedangkan Hakam tidak sedemikian bahkan Hakim mempunyai kuasa memecat Hakam yang telah dilantik.
  • Hakim tidak memerlukan persetujuan pihak-pihak yang bertikai untuk dilantik menyelesaikan kes mereka manakala Hakam perlu kepada persetujuan pihak-pihak untuk dilantik sebelum melaksanakan Majlis Tahkim.
Soalan Lazim- Sulh
Soalan 1
Apakah yang dimaksudkan dengan Majlis Sulh?
 
Jawapan:
Majlis Sulh merupakan majlis perbincangan bersama antara pihak-pihak yang terlibat dalam suatu pertikaian melibatkan satu atau lebih tuntutan yang difailkan di Mahkamah Syariah yang dipengerusikan oleh Pegawai Sulh bagi mencapai penyelesaian yang dipersetujui secara bersama oleh pihak-pihak yang bertikai. Sekiranya majlis sulh tersebut berjaya mencapai persetujuan secara sukarela antara pihak-pihak yang bertikai, ia akan direkodkan sebagai Perjanjian Penyelesaian Bersama sebelum direkodkan oleh Hakim sebagai Perintah Mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.

 
Soalan 2
Adakah Majlis Sulh dibenarkan mengikut Hukum Syarak?
 
Jawapan:
Majlis Sulh adalah dibenarkan bahkan dituntut mengikut Hukum Syarak sebagaimana disebut di dalam Al-Quran firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 9 yang bermaksud : “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah diantara keduanya”.
Allah S.W.T. juga berfirman di dalam Surah al-Nisa’ ayat 128 yang bermaksud: “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian diantara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai berai)”.
Hadis Riwayat al-Tarmizi dari Amru bin ‘Awf Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ Sulh, hukumnya adalah harus di antara orang Islam melainkan menjadi haram jika ianya mengharamkan apa yang dihalalkan dan menghalalkan apa yang diharamkan”.


Soalan 3
Apakah peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan pelaksanaan Majlis Sulh?

Jawapan:
  1. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
  2. Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
  3. Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) (Negeri Selangor) 2001.
  4. Arahan/Pekeliling Ketua Hakim Syarie Selangor.
  5. Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia .
  6. Manual Kerja Sulh Mahkamah Syariah/Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri Seluruh Malaysia
 
Soalan 4
Di manakah Majlis Sulh dilaksanakan?
 
Jawapan:
Majlis Sulh dilaksanakan di premis Mahkamah Syariah lazimnya di dalam Bilik Sulh. Walau bagaimanapun, dalam hal keadaan tertentu seperti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, Majlis Sulh boleh dilaksanakan dengan persetujuan pihak-pihak dari tempat masing-masing dan dibuat secara online.


Soalan 5
Siapakah pihak-pihak yang dibenarkan hadir di dalam Majlis Sulh?
 
Jawapan:
Hanya pihak-pihak yang terlibat dengan pertikaian yang dibenarkan hadir di dalam Majlis Sulh iaitu Plaintif dan Defendan selain Pengerusi iaitu Pegawai Sulh.

 
Soalan 6
Adakah pihak-pihak seperti Peguam Syarie, ibu,bapa,kenalan atau selainnya dibenarkan turut serta di dalam Majlis Sulh?
 
Jawapan:
Tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran Pengerusi iaitu Pegawai Sulh dengan sebab-sebab yang munasabah dan perlu seperti Penterjemah Bahasa Isyarat bagi Orang Kelainan Upaya (OKU).

 
Soalan 7
Apakah status maklumat yang dibincangkan semasa pelaksanaan Majlis Sulh?
 
Jawapan:
Segala butiran dan maklumat yang dibincangkan di dalam Majlis Sulh adalah bersifat kerahsiaan (antara pihak-pihak dan Pegawai Sulh sahaja).
 

Soalan 8
Apakah Kes-Kes di Mahkamah Syariah yang boleh dibawa ke Majlis Sulh?
 
Jawapan:
Kes-kes yang dibawa ke Majlis Sulh adalah seperti yang dinyatakan dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia No. 1 Tahun 2010 iaitu:
  1. Gantirugi pertunangan;
  2. Mutaah;
  3. Harta Sepencarian;
  4. Nafkah Isteri;
  5. Nafkah Iddah;
  6. Ubah Perintah Nafkah;
  7. Tunggakan Nafkah;
  8. Nafkah Anak;
  9. Ubah Perintah Hak Jagaan/ Nafkah Anak;
  10. Ubah Perjanjian Hak Jagaan/ Nafkah Anak;
  11. Hadhanah; dan
  12. Gantirugi Perkahwinan.
 
Soalan 9
Adakah pihak-pihak (Plaintif atau Defendan) perlu memohon untuk ke Majlis Sulh?
 
Jawapan:
Pihak-pihak tidak perlu untuk memohon ke Majlis Sulh. Semua kes seperti di dalam senarai di atas telah dikategorikan sebagai kes-kes yang perlu dirujuk ke Majlis Sulh semasa peringkat pendaftaran kes di Mahkamah Syariah.
 

Soalan 10
Adakah terdapat pengecualian untuk kes-kes yang disenaraikan di atas tidak perlu melalui Majlis Sulh?
 
Jawapan:
Ya. Pengecualian adalah diberi bagi kes-kes yang telah melalui proses pengantaraan di Jabatan Bantuan Guaman (JBG), atau Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) atau diwakili Peguam Syarie dan telah mempunyai Perjanjian Persetujuan yang sedia untuk direkodkan di hadapan Hakim Syarie sebagai Perintah Mahkamah.

 
Soalan 11
Bagaimanakah pihak-pihak dimaklumkan untuk kehadiran di Majlis Sulh?
 
Jawapan:
Mahkamah akan menetapkan tarikh Majlis Sulh pada hari yang sama kes didaftarkan dan pihak-pihak  akan dimaklumkan untuk kehadiran di Majlis Sulh melalui Notis Kehadiran Majlis Sulh. Notis tersebut akan diserahkan kepada pihak satu lagi (Defendan) sebagaimana digariskan di dalam Arahan Amalan JKSM No.8 Tahun 2016.
 

Soalan 12
Bagaimanakah jika pihak-pihak (Plaintif dan Defendan) atau salah satu pihak gagal hadir pada waktu dan masa yang ditetapkan?
 
Jawapan:
Pegawai Sulh akan menimbangkan alasan ketidakhadiran (jika ada) bagi menentukan sama ada kes Sulh perlu ditangguhkan ataupun tidak. .Sekiranya kes Sulh ditangguhkan, Notis Tangguhan Majlis Sulh akan dikeluarkan untuk memberi peluang pihak-pihak hadir semula di Majlis Sulh. Ketidakhadiran kedua-dua pihak atau salah satu pihak boleh menyebabkan kes dalam prosiding Sulh dipanjangkan untuk peringkat sebutan dan seterusnya perbicaraan.

 
Soalan 13
Adakah Majlis Sulh akan melalui proses perbicaraan sekiranya berjaya?
 
Jawapan:
Tidak. Sekiranya pihak-pihak berjaya mencapai persetujuan, satu Perjanjian Penyelesaian akan disediakan oleh Pegawai Sulh untuk disemak dan ditandatangani oleh pihak-pihak sebelum dirujukkan kepada Hakim Syarie untuk direkodkan sebagai Penghakiman Persetujuan (Perintah) Mahkamah pada hari yang sama tanpa melalui proses perbicaraan.

 
Soalan 14
Bagaimanakah jika pihak-pihak yang terlibat dalam Majlis Sulh gagal mencapai persetujuan?
 
Jawapan:
Sekiranya pihak-pihak gagal mencapai persetujuan, prosiding Majlis Sulh akan ditamatkan dan kes Sulh dilaporkan sebagai gagal. Seterusnya pihak-pihak akan melalui proses sebutan dan perbicaraan di hadapan Hakim sama seperti kes-kes yang lain yang dibicarakan.

 
Soalan 15
Berapa lamakah tempoh masa bagi prosiding Majlis Sulh?
 
Jawapan:
Jangkamasa yang diambil untuk Majlis Sulh diselesaikan adalah tidak melebihi 90 hari. Sekiranya pihak-pihak berjaya mencapai persetujuan semasa prosiding pertama Majlis Sulh, Perjanjian Penyelesaian Bersama akan dan dirujukkan kepada Hakim Syarie untuk direkodkan sebagai Penghakiman Persetujuan (Perintah) Mahkamah pada hari yang sama kes Sulh selesai.

 
Soalan 16
Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh pihak-pihak setelah menerima Perintah Mahkamah (Penghakiman Persetujuan)?
 
Jawapan:
Pihak-pihak perlu mematuhi segala terma yang telah dipersetujui sebagaimana Perintah Mahkamah tanpa gagal. Sebarang pelanggaran dan kegagalan mematuhi Perintah Mahkamah boleh dikenakan tindakan Pelaksanaan atau Penguatkuasaan Perintah atau penghinaan atau lain-lain Perintah yang sewajarnya.
 

Soalan 17
Adakah kes di Mahkamah yang selesai secara persetujuan bersama atau Majlis Sulh boleh ditarik balik atau di rayu?
 
Jawapan:
Tidak boleh ditarik balik atau dirayu oleh mana-mana pihak (sila rujuk Arahan Amalan JKSM No.4 Tahun 2011).
 

Soalan 18
Bolehkah pihak-pihak mengubah persetujuan yang telah direkodkan sebagai Perintah Mahkamah?
 
Jawapan:
Pihak-pihak boleh membuat Tuntutan Mengubah Perintah bagi perintah nafkah anak dan hak jagaan anak sahaja dengan menyatakan perubahan matan yang berlaku dalam terma perintah sebagai contoh perubahan perbelanjaan nafkah anak yang meningkat disebabkan kos pendidikan.

 
Soalan 19
Apakah kelebihan Majlis Sulh?
 
Jawapan:
Penyelesaian kes antara pihak-pihak yang bertikai dapat disegerakan tanpa melalui perbicaraan.
Mewujudkan “win-win situation” di antara pihak bertikai.
Penyelesaian secara damai dan sukarela.
Perundingan secara terpimpin dan saksama tanpa dominasi sebelah pihak
Elemen kerahsiaan sentiasa dijaga

 
Soalan 20
Apakah faktor yang menyebabkan Majlis Sulh gagal?
 
Jawapan:
Tiada kerjasama pihak-pihak untuk mencapai persetujuan
Kegagalan memberi komitmen untuk hadir dalam Majlis Sulh
Bertindak secara emosi, tidak bertolak ansur dan mementingkan diri sendiri.
Mengungkit kisah lampau tanpa mengutamakan kepentingan di masa hadapan.
Tidak berkeupayaan dan tiada maklumat untuk membuat keputusan

 
Soalan 21
Berikutan langkah kerajaan melaksanakan PKP akibat Covid-19, adakah Majlis Sulh masih dijalankan  seperti biasa dengan kehadiran pihak-pihak secara fizikal?
 
Jawapan:
Ya. Majlis Sulh masih dijalankan secara fizikal dengan kehadiran pihak-pihak sesuai dengan cara kerja norma baharu bagi mencegah penularan Covid-19 mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

 
Soalan 22
Adakah Majlis Sulh boleh dilaksanakan secara online (dalam talian)?
 
Jawapan:
Ya. Majlis Sulh boleh dibuat secara dalam talian terutama bagi pihak-pihak yang tidak dapat hadir ke Majlis Sulh disebabkan kekangan merentas daerah/negeri/negara akibat Covid-19 atau atas sebab-sebab yang lain.
 

Soalan 23
Bagaimanakah permohonan untuk Majlis Sulh secara dalam talian?
 
Jawapan:
Pihak-pihak perlu mengisi Borang Permohonan Majlis Sulh dan Pengendorsan secara dalam talian dan mengikut garis panduan yang ditetapkan sebagaimana di mukasurat 49-60 Garis Panduan Operasi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Vol.4 (27 Oktober 2020) dengan merujuk laman web www.jakess.gov.my .
 

Soalan 24
Apakah aplikasi yang digunakan untuk melaksanakan Majlis Sulh secara atas dalam talian?
 
Jawapan:
Pihak-pihak perlu menggunakan aplikasi Skype for business. Sekiranya aplikasi tersebut tidak dapat digunakan, pihak-pihak boleh juga menggunakan alternatif lain seperti aplikasi Google Meet, Zoom, Microsoft team dan sebagainya atau apa-apa aplikasi atas talian lain yang ditetapkan oleh Mahkamah.

 
Soalan 25
Bagaimanakah pihak-pihak dimaklumkan untuk prosiding Majlis Sulh secara dalam talian?
 
Jawapan:
Mahkamah akan memaklumkan kepada pihak-pihak melalui e-mail pautan link kepada Majlis Sulh secara atas talian selewatnya 15 minit atau satu hari sebelum prosiding Majlis Sulh bermula.

 
Soalan 26
Di manakah maklumat lanjut boleh diperolehi bagi proses Majlis Sulh secara dalam talian?
 
Jawapan:
Pihak-pihak boleh merujuk kepada Garis Panduan Operasi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Vol.4 (27 Oktober 2020) di muka surat 49-60 dengan merujuk laman web www.jakess.gov.my .
 

Soalan 27
Adakah Majlis Sulh secara dalam talian adalah sama seperti Majlis Sulh yang dilaksanakan secara fizikal?
 
Jawapan:
Ya. Majlis Sulh secara dalam talian dan Majlis Sulh yang dilaksanakan secara fizikal adalah sama kedua-duanya dari sudut perundangan dan peraturan yang dirujuk. Hanya cara pelaksanaan dan lokasi Majlis Sulh sahaja yang berbeza memandangkan ianya dibuat secara dalam talian.
 

Soalan 28
Adakah pengendorsan bagi persetujuan yang dicapai melalui Majlis Sulh dalam talian juga boleh dibuat pada hari yang sama?
 
Jawapan:
Ya. Perjanjian Persetujuan boleh diendorskan di hadapan Hakim Syarie pada hari yang sama  tertakluk kepada kesediaan pihak-pihak, dokumen yang telah lengkap ditandatangani dan kesediaan Mahkamah dari sudut teknikal untuk mengendalikan prosiding pengendorsan secara dalam talian.


Soalan 29
Apakah yang perlu dilakukan sekiranya pihak-pihak ingin menarik balik kes yang telah difailkan  sebelum PKP dan masih di peringkat Majlis Sulh? 
 
Jawapan:
Pihak-pihak perlu memaklumkan kepada Pendaftar atau Penolong Pendaftar di Mahkamah yang berkenaan dan mengisi Notis Penarikan Balik Kes serta memfailkan notis tersebut di Mahkamah yang berkenaan.
 
Soalan Lazim – Gantirugi Pertunangan/ Perkahwinan
Soalan 1
Apakah tuntutan Gantirugi Pertunangan?
 
Jawapan:
Tuntutan yang difailkan di Mahkamah apabila berlaku pelanggaran perjanjian untuk berkahwin (Pertunangan).

 
Soalan 2
Bagaimanakah cara menentukan berlakunya pinangan/ lamaran/ khitbah?
 
Jawapan:
Maksud lain pertunangan adalah pinangan/ lamaran/ khitbah berlaku samada secara lisan atau bertulis. Kebiasaannya dilakukan dengan pengetahuan ahli keluarga samada secara bersendirian atau melalui perantaraan wakil yang memeterai persetujuan ikatan hubungan yang serius. Majlis ini diadakan secara kecil-kecilan serta diwar-warkan kepada ahli keluarga dan jiran tetangga terdekat.
 

Soalan 3
Bagaimanakah cara untuk menentukan berlakunya pelanggaran dan pembatalan pertunangan?
 
Jawapan :
Dalam konteks hari ini, pertunangan berkait rapat dengan tanda atau pemberian seperti cincin atau barang perhiasan bagi wanita. Pelanggaran ini berlaku apabila salah satu pihak membatalkan ikatan samada memulangkan pemberian tersebut atau lisan (ucapan tindakan dimaksudkan putus tunang).

 
Soalan 4
Adakah Pertunangan masih relevan sehingga hari ini?
 
Jawapan
Ya. Pertunangan ialah amalan yang digunapakai setelah sekian lama bagi mengenali hati budi pasangan dengan lebih mendalam, hubungan yang serius sesama pasangan dan proses memupuk kesefahaman bagi mendirikan rumahtangga.

 
Soalan 5
Apakah kesan yang ditanggung dan nyatakan contoh?
 
Jawapan
Ya. Kos kerugian perbelanjaan yang ditanggung seperti persiapan persediaan majlis seperti deposit sewa khemah, langsir, cadar, baju persalinan, barangan keperluan, barangan runcit, jamuan makan termasuk barang kemas dan perhiasan lain yang berkaitan.
 

Soalan 6
Bagaimanakah proses tuntutan ini berlaku?
 
Jawapan
Pihak yang terkilan bolehlah memfailkan tuntutan ini di Mahkamah Syariah dengan senarai semak dan dokumen yang dinyatakan Borang.
  
 
Soalan 7
Bagaimanakah sekiranya pihak-pihak mahu menyelesaikan kes penyelesaian di luar Mahkamah?
 
Jawapan
Pihak-pihak yang telah mempunyai persetujuan penyelesaian disarankan membuat perbincangan dan merekodkan perjanjian persetujuan di Majlis Sulh.
 
 
Soalan Lazim - Tuntutan Poligami
Soalan 1
Sekiranya saya ingin berpoligami, di manakah saya perlu memfailkannya?
 
Jawapan:
Anda boleh memfailkan kes tuntutan poligami di Mahkamah Tinggi Syariah di mana negeri anda bermastautin.

 
Soalan 2
Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan borang tuntutan poligami?
 
Jawapan:
Anda boleh dapatkan borang tuntutan poligami dengan memuat turun dalam laman web JAKESS di ruangan muat turun borang, search kod kes 011.

 
Soalan 3
Apakah dokumen yang diperlukan untuk mendaftar kes tuntutan poligami?
 
Jawapan:
Dokumen yang diperlukan ialah:
  1. Borang tuntutan poligami yang lengkap. (1 asal dan 2 salinan)
  2. Satu salinan kad pengenalan/passport (Plaintif, Defendan, bakal isteri).
  3. Satu salinan surat perakuan nikah/ruju (Plaintif dan Defendan).
  4. Satu Salinan surat perakuan cerai/sijil kematian. (bakal isteri-jika janda/balu)
  5. Satu salinan sijil kelahiran anak/kad pengenalan anak (Plaintif dan Defendan)
  6. Satu salinan borang permohonan berkahwin (bagi Lelaki)-Borang 2B.
  7. Satu salinan slip gaji/penyata pendapatan (3 bulan akhir).

 
Soalan 4
Dalam kes tuntutan poligami ini, siapakah pihak Plaintif dan Defendan?
 
Jawapan:
Pihak Plaintif adalah suami dan pihak Defendan adalah isteri pertama.
 

Soalan 5
Saya telah mendaftarkan tuntutan poligami, bilakah kes saya akan disebut di Mahkamah Tinggi Syariah?
 
Jawapan:
Setelah kes tuntutan poligami tersebut didaftar, anda akan diberikan tarikh sebutan atau bicara di hadapan Pendaftar atau Hakim Mahkamah pada hari yang sama. Kebiasaannya, Mahkamah akan menetapkan tarikh dalam tempoh 21 hari atau lebih selepas pendaftaran tertakluk kepada tarikh kes yang telah ditetapkan di hadapan Pendaftar atau Hakim Mahkamah.

 
Soalan 6
Kes poligami saya telah diluluskan, bila saya boleh dapatkan perintah  rasmi daripada Mahkamah?
 
Jawapan:
Perintah rasmi boleh diperolehi dalam tempoh 30 hari selepas kes diluluskan dan dipohon oleh pelanggan. Setelah perintah rasmi telah diperolehi, perintah poligami tersebut boleh dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah untuk tindakan selanjutnya.

 
Soalan 7
Saya baru mendapat tahu bahawa suami telah berkahwin lain. Apakah yang harus saya lakukan?
 
Jawapan:
Sekiranya perkahwinan poligami tersebut telah disahkan oleh Mahkamah, puan boleh memhon perintah nafkah isteri, nafkah anak-anak, hak harta sepencarian, hak giliran bermalam, hak tempat tinggal serta tunggakan nafkah isteri dan anak-anak sekiranya ada.


Soalan 8
Sekiranya saya ingin berpoligami, perlukah saya meminta kebenaran/izin daripada isteri pertama?
 
Jawapan:
Sekiranya anda ingin berpoligami, anda tidak memerlukan kebenaran isteri tetapi apa yang diperlukan adalah kebenaran dari Mahkamah Syariah.
 

Soalan 9
Adakah isteri pertama wajib untuk hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah?
 
Jawapan:
Apabila suami datang membuat tuntutan berpoligami, suami perlu menyerahkan surat tuntutan kebenaran poligami kepada isteri pertama sebagai makluman untuk hadir ke Mahkamah. Sama ada isteri mahu hadir atau tidak terserah kepada pihak isteri. Jika hadir, isteri akan ditemu bual oleh Hakim Mahkamah samada setuju atau tidak.
Soalan Lazim – Sabitan Nusyuz
Soalan 1
Apakah yang dimaksudkan dengan Nusyuz?
 
Jawapan:
Nusyuz ertinya isteri enggan mentaati perintah atau permintaan suami yang sah di sisi syarak iaitu antara lain:
  1. apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
  2. apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
  3. apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
 
Soalan 2
Apakah kesan nusyuz dalam hubungan suami isteri?
 
Jawapan:
Nusyuz mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan dosa besar. Isteri yang disabitkan nusyuz tidak berhak mendapat nafkah sehingga beliau kembali taat kepada suaminya.

 
Soalan 3
Apakah situasi sebaliknya. Bolehkah seorang suami itu menjadi nusyuz?
 
Jawapan :
Ya. Seorang suami boleh menjadi nusyuz apabila gagal/culas dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami serta memunaikan hak-hak yang diperuntukan oleh Hukum Syarak dan undang-undang.

 
Soalan 4
Bagaimananakah cara dan apakah tindakan sekiranya berlakunya nusyuz dalam rumahtangga?
 
Jawapan:
Kaedah bagi mengatasi masalah nusyuz ini melalui pendidikan sepanjang hayat melalui nasihat, pengasingan tempat tidur dan pukulan (sekadar yang dibenarkan). Rujuk Surah An-Nisa ayat 34.

 
Soalan 5
Apakah perbezaan antara tuntutan kembali taat dan sabitan nusyuz?
 
Jawapan:
Tuntutan kembali taat adalah tuntutan yang dibuat oleh suami terhadap isteri supaya isteri kembali semula ke pangkuan suami, manakala sabitan nusyuz pula ialah isteri yang menderhakai suaminya dan mengingkari ketaatan terhadap suami yang diwajibkan oleh Allah SWT.
 
Nusyuz hanya dikaitkan dengan tindakan isteri sahaja dan tiada tafsiran berkenaan nusyuz suami. Walaupun terdapat undang-undang yang menyebut mengenai tindakan suami nusyuz seperti tidak berlaku adil dalam berpoligami,meninggalkan langsung isteri, namun istilah nusyuz tidak digunakan ke atas suami.
 
Pada kebiasaannya, tuntutan taat terlebih dahulu dibuat sebelum disabitkaan nusyuz. Jika selepas perintah isteri taat dikeluarkan, isteri masih lagi enggan, maka isteri boleh disabitkan nusyuz.
Soalan Lazim - Penceraian Secara Fasakh
Soalan Lazim - Penceraian Kes Persetujuan Bersama (Fast Track)
Soalan 1
Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan penceraian Fast Track ini?
 
Jawapan:
Penceraian Fast Track adalah suatu inovasi proses kerja dimana pasangan yang  mencapai persetujuan bersama untuk bercerai dibawah peruntukan Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (penceraian dengan lafaz talaq di dalam mahkamah) tidak perlu lagi menunggu 90 hari bagi menyelesaikan kes mereka. Sebaliknya, proses itu diselesaikan kurang enam jam bermula daripada masa pendaftaran kes sehingga perintah bertulis dikeluarkan.
 
Pewujudan proses kerja kes cerai secara ‘fast track’ adalah bagi menyelesaikan rungutan dan aduan pelanggan Mahkamah Syariah Selangor yang mendakwa bahawa mahkamah mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan kes-kes cerai di Negeri Selangor.
 
Soalan 2
Adakah apa-apa syarat jika saya ingin bercerai melalui proses Fast Track ini?
 
Jawapan:
Ya, pemakaian proses kerja kes cerai secara ‘fast track’ ini perlu memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
(a) Dokumen telah lengkap;
(b) Suami isteri hadir di mahkamah;
(c) Wujud persetujuan antara suami isteri untuk bercerai secara baik dan harmoni;
(d) Isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci tersebut; dan
(e) Mahkamah berpuas hati bahawa telah berlaku pecah belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan.
 
Melalui proses kerja ini, kes pasangan suami isteri yang telah bersetuju untuk bercerai akan diselesaikan dalam tempoh 6 jam daripada masa pemfailan kes dan mereka akan menerima Perintah bertulis bermeterai mahkamah dalam tempoh masa tersebut untuk dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Selangor bagi tujuan pengeluaran Sijil Cerai.
 
Soalan 3
Apa sandaran dalil JAKESS terhadap proses penceraian fast track ini?
 
Jawapan:
Ketika sesuatu perkahwinan yang telah pecah belah, dan suami itu benar-benar mahu menceraikan isteri mereka secara baik selaras dengan Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud “Talaq (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, sesudah itu bolehlah ia (ruju’ dan) dipegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikannya) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikannya) dengan cara yang baik.”.
 
Secara tidak langsung ia juga dapat mengurangkan masalah wanita yang mendakwa diri mereka telah “digantung tak bertali”.
 
Soalan 4
Penceraian fast track inilah menjadikan penceraian di Negeri Selangor adalah tertinggi di Malaysia?
 
Jawapan:
Kewujudan proses kerja kes cerai secara ‘fast track’ ini bukanlah proses yang menggalakkan masyarakat Islam di Selangor untuk bercerai sehingga menyumbang kepada kadar kes penceraian yang tinggi di Negeri Selangor. Sebaliknya, kadar penceraian yang tinggi tercatat di Negeri Selangor adalah disebabkan oleh jumlah penduduk yang ramai di Negeri Selangor berbanding dengan Negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.
Soalan Lazim - Tuntutan Tunggakan Nafkah
Soalan 1
Apakah yang dimaksudkan dengan tunggakan nafkah?
 
Jawapan:
Nafkah tertunggak ialah nafkah yang tidak ditunaikan atau dibayar oleh seorang bapa terhadap individu di bawah tanggungannya sama ada kepada isteri atau anak-anak.
 

Soalan 2
Saya telah mendapat perintah nafkah anak pada 6 bulan lalu dan kini bekas suami saya telah gagal membayar nafkah anak. Adakah saya boleh memfailkan tuntutan tunggakan nafkah?
 
Jawapan:
Ya. Boleh menfailkan tuntutan tunggakan nafkah anak.
 

Soalan 3
Apakah dalil pensyariatan dan peruntukan undang-undang berkaitan tuntutan tunggakan nafkah?
 
Jawapan:
Dalil pensyariatan dan peruntukan undang-undang yang berkaitan tuntutan tunggakan nafkah adalah :          
 
 
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian..”
 
Seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003:
 
(1)   Tunggakan nafkah yang tak bercagar, boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar dari harta pusakanya.
 
(2)   Tunggakan nafkah yang tak bercagar yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri di sisi undang-undang orang itu.”
 

Soalan 4
Adakah tunggakan nafkah isteri boleh difailkan walaupun tidak mempunyai perintah Mahkamah?
 
Jawapan:
Ya . Boleh difailkan.
Soalan Lazim -Tuntutan Hak Tempat Tinggal

Soalan 1

Apakah yang dimaksudkan dengan tuntutan hak tempat tinggal?

Jawapan:

Secara amnya ia merupakan suatu tuntutan oleh seorang isteri terhadap suaminya bagi menuntut hak tempat tinggal bagi dirinya.

 

Soalan 2

Bagaimana hendak menfailkan tuntutan hak tempat tinggal?

Jawapan:

Boleh menfailkan tuntutan hak tempat tinggal di Mahkamah Rendah Syariah di mana tempat anda tinggal atau bermastautin.

 

Soalan 3

Adakah saya boleh menfailkan tuntutan hak tempat tinggal bersama-sama tuntutan nafkah diri?

Jawapan:

Boleh difailkan secara bersama dengan tuntutan nafkah diri.