Soalan 1
Apakah yang dimaksudkan dengan Hakam?
Jawapan:
Seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri;
Soalan 2
Apakah yang dimaksudkan dengan Syiqaq?
Jawapan:
“shiqaq” ertinya perkelahian antara suami dan isteri yang berlarutan sehingga menjejaskan kerukunan rumah tangga.
Soalan 3
Apakah dalil Syarak tentang pensyariatan Hakam?
Jawapan:
Firman Allah di dalam Surah al-Nisa’ ayat 58 maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik.”
An-Nasai meriwayatkan daripada Abi Syuraih telah berkata seseorang kepada Rasullullah S.A.W : “Wahai Rasullullah bahawa kaumku ini apabila berlaku perselisihan dalam sesuatu perkara mereka akan dating kepadaku,maka aku buat keputusan bagi mereka berdua,maka Rasullullah S.A.W berkata kepadanya tidak ada yang lebih baik daripada ini”
Soalan 4
Apakah peruntukan undang-undang yang membenarkan penyelesaian kes melalui proses Hakam?
Jawapan:
Peruntukan berkaitan Hakam ada dinyatakan di dalam Seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014.
Seksyen 48. Timbangtara oleh Hakam
(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.
(2) Pada melantik Hakam di bawah subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.
(3) Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada Hakam tentang hal menjalankan penimbangtaraan dan mereka hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu dan Hukum Syarak.
(4) Jika Hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak puas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik Hakam lain bagi menggantikan mereka.
(5) Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan sedemikian oleh Mahkamah, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.
(6) Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan penceraian oleh kerana sesuatu sebab, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan perintah itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.
(7) Melainkan jika dia adalah anggota keluarga terdekat pihak itu, maka tiada seorang pun atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.
Soalan 5
Bilakah bermulanya proses untuk perlantikan Hakam?
Jawapan:
Perlantikan Hakam dibuat selepas berlakunya proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dimana semasa proses akhir laporan Jawatankuasa Pendamai pihak-pihak gagal mencapai perdamaian dan pihak suami enggan untuk melafazkan cerai walaupun setelah dinasihatkan oleh Mahkamah, Mahkamah hendaklah mengarahkan pembentukan Hakam setelah mahkamah mensabitkan syiqaq antara pasangan suami isteri tersebut.
Dalam keadaan tuntutan oleh isteri untuk mendapatkan pembubaran perkahwinan tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah atas alasan dia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan Mahkamah mendapati pertikaian (syiqaq) itu masih lagi berterusan atau berulang antara suami isteri tersebut
Soalan 6
Bagaimanakah sabitan Syiqaq ditentukan oleh Mahkamah sebelum melantik Hakam?
Jawapan:
Sebelum melantik Hakam, Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa shiqaq telah berlaku antara suami dan isteri setelah Mahkamah menjalankan siasatan.
(a) perkelahian yang kerap antara suami dan isteri itu sama ada oleh sebab :
(i) nusyuz isteri;
(ii) kezaliman suami;
(iii) ketidaktentuan siapa yang benar antara kedua-duanya; atau
(iv) salah satu pihak atau kedua-dua pihak berdusta atau menuntut yang bukan hak.
(b) perkelahian yang kerap antara suami dan isteri sehingga menimbulkan kesukaran menjalankan tanggungjawab masing-masing dan saling tuduh menuduh tidak melaksanakan hak sebagai suami dan isteri;
(c) suami atau isteri saling tuduh-menuduh antara keduanya mempunyai
hubungan yang melampaui Hukum Syarak dengan perempuan atau lelaki lain;
(d) perkelahian yang kerap hingga menyebabkan pukul-memukul;
(e) salah seorang meninggalkan rumah kediaman, tidak tinggal bersama
sedangkan punca sebenar tidak dapat dibuktikan oleh kedua-dua pihak di hadapan Mahkamah;
(f) suami atau isteri saling tuduh-menuduh antara keduanya mengenai tanggungjawab masing-masing terhadap anak-anak sehingga berlaku pertikaian dan perkelahian yang kerap;
(g) jika didapati bahawa sebarang tuntutan oleh isteri untuk mendapatkan pembubaran perkahwinan tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah atas alasan dia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan Mahkamah mendapati pertikaian itu masih lagi berterusan atau berulang antara suami isteri tersebut; atau
(h) apa-apa tindakan yang menyebabkan darar syarie ke atas isteri atau suami.
Soalan 7
Siapakah yang dimaksudkan sebagai anggota Panel Hakam?
Jawapan:
Angota Panel Hakam ertinya anggota panel Hakam yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor atas cadangan Jawatankuasa Hakam yang berperanan sebagai penimbang tara yang diberi kuasa oleh oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri.
Soalan 8
Apakah yang dimaksudkan dengan Majlis Tahkim?
Jawapan:
Majlis Tahkim ialah sesi timbang tara atau proses penyelesaian perkelahian (shiqaq) yang melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dengan Hakam untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talaq atau dengan khulu’.
Soalan 9
Berapa peringkat Majlis Tahkim ?
Jawapan:
Majlis Tahkim ada dua peringkat yang mana peringkat pertama pelantikan dikalangan ahli atau kaum kerabat. Sekiranya tiada penyelesaian maka proses seterusnya adalah pelantikan yang kedua iaitu terdiri daripada anggota Panel Hakam yang dilantik oleh Mahkamah yang memberikan kuasa penuh dalam pelaksanaan Majlis Tahkim sehingga selesai.
Soalan 10
Adakah pihak-pihak (suami atau isteri) perlu memohon untuk Majlis Tahkim?
Jawapan:
Tidak perlu.
Soalan 11
Apakah perkara yang perlu pihak-pihak tahu semasa menghadiri Majlis Tahkim?
Jawapan:
Pihak-pihak perlu tahu matlamat Majlis Tahkim adalah mencari penyelesaian antara kedua pihak melalui perdamaian(islah) dengan tujuan mengekalkan perkahwinan atau perceraian sekiranya jalan perdamaian gagal dicapai.
Pihak-pihak perlu memberi penjelasan tentang masalah sebenar yang berlaku dalam rumahtangga.
Memberi kerjasama,bertoleransi, jujur,sopan dan menghormati Hakam dan Majlis Tahkim.
Berusaha sebaik mungkin untuk mencapai penyelesaian.
Soalan 12
Bilakah bermulanya prosiding Majlis Tahkim?
Jawapan:
Prosiding Majlis Tahkim bermula selepas pelantikan hakam dibuat.
Soalan 13
Berapa lama tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim?
Jawapan:
Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim adalah tidak melebihi tiga puluh hari dari tarikh perintah pelantikan dan perisytiharan Hakam yang dikeluarkan oleh Mahkamah. Mahkamah boleh melanjutkan tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim atas sebab-sebab yang perlu tetapi tempoh pelanjutan tersebut tidak melebihi tempoh enam puluh hari dari tarikh pelanjutan diberi.
Soalan 14
Adakah pihak lain atau peguam syarie dibenarkan hadir dihadapan Hakam?
Jawapan:
Tiada pihak lain atau Peguam Syarie dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam melainkan jika dia adalah anggota keluarga terdekat pihak-pihak itu.
Soalan 15
Bagaimanakah jika suami atau isteri atau kedua-duanya enggan hadir dalam prosiding Majlis Tahkim?
Jawapan:
Keengganan suami atau isteri atau kedua-dua pihak hadir dalam Majlis Tahkim tidak menyebabkan prosiding terhenti dan Hakam boleh membuat keputusan.
Soalan 16
Adakah keputusan Majlis Tahkim dapat dicapai jika salah satu Hakam berbeza pendapat ?
Jawapan:
Tidak. Keputusan Majlis Tahkim hanya dapat dicapai dan sah apabila kedua-dua Hakam membuat keputusan yang sama
Soalan 17
Adakah keputusan Majlis Tahkim boleh dirayu?
Jawapan:
Perceraian yang diputuskan dalam Majlis Tahkim adalah muktamad dan tiada rayuan dibenarkan namun permohonan semakan oleh pihak-pihak boleh dibuat terhadap prosiding Majlis Tahkim tersebut.
Soalan 18
Bagaimanakah jenis perceraian melalui Majlis Tahkim ditentukan sama ada secara talaq atau khulu’?
Jawapan:
Setelah kedua-dua Hakam berpuas hati bahawa perdamaian gagal dicapai oleh kedua-dua pihak, Hakam perlu menentukan pihak yang menjadi punca kepada berlakunya syiqaq;
- Jika shiqaq itu berpunca daripada suami atau kedua-dua suami dan isteri, kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talaq;
- Jika shiqaq itu berpunca daripada isteri, kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khuluk dan kadar ‘iwadh hendaklah diputuskan oleh Hakam;
- jika tidak dapat ditentukan puncanya dan tuntutan perceraian dibuat oleh suami, maka kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talaq;atau
- tidak dapat ditentukan puncanya dan tuntutan perceraian dibuat oleh isteri, maka kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khulu’ dan kadar ‘iwadh hendaklah diputuskan oleh Hakam.
Soalan 19
Apakah hukum lafaz talak oleh Hakam?
Jawapan:
Talak bain sughro dan bekas suami tidak boleh rujuk bekas isterinya semula melainkan dengan akad nikah yang baru.
Soalan 20
Dimanakah tempat prosiding Majlis Tahkim dilaksanakan?
Jawapan:
Majlis Tahkim hendaklah dilaksanakan di Mahkamah Syariah atau dimana-mana tempat lain yang dibenarkan oleh Mahkamah.
Soalan 21
Adakah perbincangan dan rundingan antara suami atau isteri bersama Hakam masing-masing semasa Majlis Tahkim bersifat rahsia?
Jawapan:
Perbincangan dan rundingan bersifat kerahsiaan tanpa melibatkan mana-mana pihak kecuali hakam-hakam yang dilantik.
Soalan 22
Bagaimana kadar ‘Iwadh ditentukan jika perceraian melalui Hakam secara khul’?
Jawapan:
Kadar ‘Iwadh ditentukan oleh Hakam . Sekiranya Hakam gagal mencapai persetujuan maka Hakim akan menentukan kadar ‘Iwadh mengikut Hukum Syarak.
Soalan 23
Bila terhentinya prosiding Majlis Tahkim?
Jawapan:
Prosiding Majlis Tahkim terhenti, jika—
(a) suami atau isteri itu mati;
(b) suami atau isteri tidak sempurna akal;
(c) Hakam menarik diri sebagai Hakam
(d) wujud sebab lain yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.
Soalan 24
Apakah kelebihan Hakam dalam menyelesaikan kes-kes penceraian di Mahkamah Syariah?
Jawapan:
Hakam merupakan salah satu kaedah bagi menyelesaikan isu syiqaq dalam rumahtangga. Hakam memberi ruang pihak-pihak (suami dan isteri) untuk menentukan jalan perdamaian atau perceraian. Penyelesaian kes melalui Hakam dapat diselesaikan dengan kadar yang lebih cepat berbanding ta’liq dan fasakh.
Soalan 25
Apakah perbezaan antara Kehakiman dan Tahkim?
Jawapan:
- Hakim dilantik oleh Pemerintah (Sultan) manakala Hakam dilantik oleh pihak-pihak yang bertikai atau Hakim.
- Bidangkuasa Hakim adalah luas dan meliputi wilayah ammah manakala Hakam mempunyai kuasa yang khas mengikut jenis perceraian yang ditentukan sahaja.
- Hakim mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Hakam dan boleh mendengar semua perkara yang dibenarkan kepada Hakam sedangkan Hakam tidak sedemikian bahkan Hakim mempunyai kuasa memecat Hakam yang telah dilantik.
- Hakim tidak memerlukan persetujuan pihak-pihak yang bertikai untuk dilantik menyelesaikan kes mereka manakala Hakam perlu kepada persetujuan pihak-pihak untuk dilantik sebelum melaksanakan Majlis Tahkim.