
Shah Alam, 30 September 2022 - YAA Dato' Mohammad Adib Bin Husain, Ketua Hakim Syarie Selangor baru-baru ini berkesempatan berkongsi pengalaman dan beramah mesra bersama mahasiswa anak-anak Selangor sepanjang Program Konvensyen Pimpinan Mahasiswa Selangor Timur Tengah yang berlangsung daripada 25 hingga 28 September 2022 di Iskandariah, Mesir.
Program yang dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor ini telah diadakan bagi memperkasa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di timur tengah serta sebagai sebuah mekanisma perkongsian maklumat, pengalaman dan idea dalam kalangan anak-anak Selangor yang sedang menuntut di Maghribi, Jordan dan Republik Arab Mesir.
YAA Ketua Hakim Syarie Selangor telah dijemput bagi membentangkan tajuk Forum Kerjaya dalam Bidang Kehakiman dan Perundangan Syariah yang jelas menarik perhatian para mahasiswa untuk menimba pengalaman daripada YAA Ketua Hakim Syarie sendiri sebelum melangkah ke industri pekerjaan yang sebenar.
Program yang dikelolakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ini turut disertai oleh barisan delegasi Menteri Besar Selangor iaitu YB Dato' Haji Haris Bin Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna Dan Industri Halal, Dato' Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) serta barisan-barisan delegasi yang lain.
Jabatan Kehakiman Syariah Selangor mengucapkan terima kasih dan tahniah diatas perlaksanaan program yang amat bermanfaat ini. Semoga setiap usaha diberkati Allah SWT.
#jakess
#syariahasaskeadilan