Skip to main content
JAKESS
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Media

MAJLIS PENTAULIAHAN PEGUAM SYARIE SELANGOR 2026 108 PEGUAM DITAULIAHKAN

Admin-Haeida

05 August 2026

28



                                         

                                         

                                                                 

3 Ogos 2026, Shah Alam – Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) hari ini telah menganjurkan Majlis Perisytiharan dan Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Selangor Tahun 2026 (Siri 1/2026) yang berlangsung di Dewan Muktamar, Aras 2, Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, Shah Alam.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Amat Dihormati Senator Dato' Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Turut hadir menyerikan majlis ialah Yang Amat Arif Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, serta barisan tetamu kehormat yang terdiri daripada Yang Arif Dato' Haji Mohamad Shakir bin Abdul Hamid, Hakim Mahkamah Rayuan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia; Yang Berbahagia Datin Paduka Saudah binti Sulaiman, Anggota Majlis Agama Islam Selangor; Yang Arif Tuan Abdul Shukor bin Abd Hamid, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Selangor; Yang Berusaha Puan Hajah Norlaili binti Mohamad, Timbalan Setiausaha (Operasi) Majlis Agama Islam Selangor; Yang Berusaha Puan Sofian binti Ahmad, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor; Yang Berusaha Puan Salwani binti Khalid, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Selangor, serta Yang Arif Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor.

Majlis dimulakan dengan proses Perisytiharan Pelantikan Peguam Syarie Negeri Selangor di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, diikuti sesi bergambar bersama para pegawai, tetamu kehormat dan seramai 108 orang peguam syarie yang berjaya memenuhi syarat untuk ditauliahkan.

Acara diteruskan dengan ucapan aluan oleh Yang Amat Arif Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, sebelum disusuli ucapan amanat serta perasmian oleh Yang Amat Dihormati Senator Dato' Setia Haji Salehuddin bin Saidin.

Kemuncak majlis menyaksikan bacaan ikrar dan aku janji oleh wakil Peguam Syarie, diikuti penyerahan sijil Peguam Syarie kepada seramai 108 orang peguam syarie oleh Pengerusi MAIS sebagai simbolik pentauliahan kepada peguam-peguam syarie yang berjaya memenuhi syarat kelayakan untuk beramal di Negeri Selangor.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan JAKESS dan MAIS dalam memastikan profesion Peguam Syarie di Negeri Selangor terus diperkasakan melalui pelantikan individu yang berkelayakan, berintegriti dan beretika.

Pentauliahan pada siri kali ini diharap dapat memperkukuh sistem penyampaian keadilan syariah serta meningkatkan mutu perkhidmatan guaman syarie demi kepentingan masyarakat dan institusi kehakiman syariah di Negeri Selangor.