Skip to main content
JAKESS
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor

Inisiatif Pengurusan Rekod: Pemindahan 41 Buku Kausa ke Pusat Rekod Arkib Negara Malaysia

MRS Hulu Selangor

17 November 2025

23

17 November 2025– Seksyen Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah melaksanakan pemindahan sebanyak 41 buah Buku Kausa (Daftar) dari Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor ke Pusat Rekod, Arkib Negara Malaysia di Petaling Jaya, Selangor. Pemindahan ini dilaksanakan menggunakan Borang Arkib 11/08 mengikut ketetapan prosedur pemindahan rekod awam yang berkuat kuasa.

Kedatangan delegasi ini telah disambut oleh Puan Faridah Binti Mohamad Yusof selaku Pembantu Arkib Kanan wakil pihak jabatan. Proses pemindahan berkenaan telah diketuai oleh Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) iaitu Encik Sofian bin Ibrahim, dengan dibantu oleh para Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ), iaitu Puan Nuraziraakmar binti Othman, Puan Shasaliza binti Kosenin dan Puan Nurizzati binti Roslan. Turut serta ialah seorang pelajar Latihan Industri (LI), Cik Khairun Iman Nadhira binti Norazli dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana dalam bidang Pengurusan Rekod Maklumat. Kesemua rekod yang terlibat telah diperiksa, disusun, dilabel serta direkodkan dengan teratur mengikut keperluan dokumentasi dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia.

Untuk makluman, pemindahan ini dilaksanakan selaras dengan peruntukan Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629), khususnya Seksyen 27 hingga 29 yang menyarankan pemindahan rekod matang bagi tujuan pemeliharaan kekal. Pelaksanaan ini juga mematuhi ketetapan Jadual Pelupusan Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) 2020, yang menetapkan bahawa rekod fizikal hendaklah dipindahkan ke Arkib Negara Malaysia setelah tamat tindakan dan setelah tempoh simpanan tujuh (7) tahun di jabatan dipenuhi.

Pelaksanaan pemindahan ini mencerminkan komitmen dalam memastikan pengurusan dan pemeliharaan rekod jabatan yang dilaksanakan agar lebih teratur, berintegriti, mematuhi keperluan perundangan serta selaras dengan standard pengurusan rekod Arkib Negara Malaysia.